Johan (tiga dari kanan) bersama pengacara dan penyiasat suara sumbang, Shuk (kiri), Yusri, Jihan, Mark Adam dan Sean pada majlis pelancaran I Can See Your Voice Musim ke-3.
YUSRY tampil sebagai panel penyiasat suara sumbang.
SEAN dan Shuk kekal sebagai pengacara.


SELEPAS berjaya mencatat kejayaan luar biasa menerusi dua musim, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) kini tampil dengan musim ketiga bermula Ahad ini jam 9 malam di TV3.

Apa yang menarik, program terbabit turut menarik respons positif di platform media sosial hingga menjadi ikutan ramai penonton di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, ICSYVMY mencatat jumlah rating tertinggi di TV3 iaitu sebanyak 11.4 juta penonton.

“Sejak diperkenalkan, ICSYVMY menerima sambutan sangat positif termasuk dari

pada platform media sosial. Musim lalu mencatatkan rating terkumpul untuk semua episod berjumlah 11.4 juta penonton hasil kajian Nielsen Audience Measurement. Tontonan di platform digital YouTube TV3 Malaysia dan YouTube TV9 Malaysia pula berjaya meraih jumlah tontonan sebanyak 62.5 juta,” katanya.

Menurut Johan, populariti dan keunikan format ICSYVMY terbukti berjaya menarik minat orang ramai apabila enggan melepaskan peluang untuk sama-sama menjayakan program ini.

“Apa yang unik mengenai program ini, kami bukan saja mahukan penyanyi sebenar tetapi kami juga mahukan penyanyi yang bersuara sumbang yang pandai menyamar (penyamar) untuk menguji selebriti popular yang diundang ke studio ICSYVMY.

“Populariti dan keunikan format ICSYVMY terbukti berjaya menarik minat orang ramai yang enggan melepaskan peluang untuk sama-sama menjayakan program ini. Jadi, kami berharap musim baharu ini akan terus mendapat sambutan positif dan menjadi sebuah program hiburan tontonan ramai di hujung minggu.

“Ketika uji bakat dijalankan pada Oktober tahun lalu, kira-kira 3,000 hadir dan pihak kami tidak sangka mendapat sambutan luar biasa seperti itu. Ada peserta yang sanggup datang seawal jam 5 pagi untuk menyertai uji bakat,” katanya.

Program ICSYVMY adalah adaptasi game show dari Korea Selatan dengan judul yang sama. ICSYVMY musim pertama ditayangkan pada November 2018 dan terus mendapat tempat di hati penonton.

ICSYVMY musim pertama diacarakan Alvin Chong dan Shuk Sahar manakala musim kedua dan ketiga masih mengekalkan gandingan Sean LJE dan Shuk.

Lebih mengujakan, Yusry Abdul Halim, seorang penggiat seni yang tidak asing lagi di industri seni sudah dilamar untuk menyertai Jihan Muse dan Mark Adam sebagai ahli panel penyiasat suara sumbang sepanjang 10 episod program itu bersiaran.

Setiap episod, seorang artis jemputan dan dua penyiasat jemputan akan memeriahkan lagi suasana di studio ICSYVMY.

“Tugas penyiasat bertujuan membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah penyanyi misteri suara sumbang dalam kalangan penyanyi yang ditampilkan,” katanya.

Antara artis jemputan yang menghiasi ICSYVMY Musim 3 ialah Sham Visa, Stacy, Ismail Izzani, Siti Nordiana, Erra Fazira, Datuk Hattan, Akim Ahmad, MK, Shila Amzah dan Sufian Suhaimi.

“Selain itu, selebriti popular tanah air seperti Mira Filzah, Ropie, Kamal Adli, Nabila Huda, Azad Jasmin, Eira Syazira dan Rozita Che Wan turut dijemput sebagai ahli panel penyiasat suara sumbang,” katanya.

Untuk musim ini, ICSYVMY memperkenalkan pembaharuan dalam format permainan apabila lebih banyak maklumat yang akan diberikan.

“Banyak debaran yang bakal disaksikan penonton selain akan mengelirukan barisan artis untuk membuat keputusan yang pastinya akan membuat penonton ketawa.

“Format kali ini lebih 40 peratus perubahan dibawakan supaya penonton tidak bosan dengan konsep persembahan selain mengikut perubahan

game show di Korea Selatan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:15 AM