NAIM Daniel
Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, penyanyi dan komposer, Naim Daniel tidak mahu terlalu berkira mengenai bayaran untuk persembahan walaupun lagu ciptaan dan nyanyiannya, Sumpah sudah diangkat sebagai Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) baru-baru ini.

Menurutnya, dia menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusannya.

“Kalau bercakap mengenai harga, saya adalah orang terakhir yang akan mengambil tahu mengenainya kerana tugas dan tanggungjawab saya setiap kali dipanggil untuk membuat persembahan adalah untuk menyanyi dan menghibur.

“Kalau berkaitan dengan bayaran, saya serahkan semuanya kepada pihak pengurusan saya kerana mereka lebih tahu dan arif,” katanya kepada Harian Metro.

Naim berkata, dia tidak berkira kerana lebih kepada ikhlas untuk menghiburkan peminatnya.

“Kalau saya hiburkan peminat dan menggembirakan mereka, ia adalah doa daripada mereka untuk kesejahteraan saya.

“Setidak-tidaknya orang yang menonton dan menjemput kita untuk membuat persembahan pun akan rasa senang dengan kita,” katanya.

Naim dikenali sebagai penyanyi yang kerap memberikan hadiah ketika muncul membuat persembahan di mana-mana lokasi dan itu membuatkan ramai peminat tertarik dengan sifat murah hatinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:16 AM