PERSEMBAHAN daripada Kumpulan Drama Band pada Anugerah Juara Lagu 34 yang diadakan di Axiata Arena. FOTO Eizairi Shamsudin
Sudirman Mohd Tahir


KUMPULAN Drama Band memohon maaf secara terbuka kepada pihak TV3 susulan gimik persembahan mereka pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) yang dianggap keterlaluan.

Kenyataan dan surat yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak itu antara lain menyebut kumpulan terbabit tidak menjangka pelbagai timbul isu di media sosial.

“AJL34 telah melabuhkan tirai dengan jayanya pada 9 Februari. Terima kasih diucapkan kepada pihak TV3 amnya dan produksi AJL34 khasnya kerana telah memberikan ruang dan peluang kepada Drama Band sebagai salah seorang finalis yang bertanding dalam AJL34.

“Sehubungan dengan itu, ruang persembahan yang diberikan oleh pihak produksi amat dihargai. Namun, pelbagai isu yang timbul terutamanya di media sosial amatlah tidak dijangka.

“Justeru itu, dengan rasa rendah hati, kami memohon maaf di atas gimik persembahan yang terlah dipersembahkan,” menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan sama, Drama Band mengakui menyesal dengan perbuatan itu hingga menyinggung perasaan segelintir pihak.

“Kami mengambil iktibar di atas segala yang terjadi dan menyesali perbuatan dan persembahan yang telah menyinggung perasaan sesetengah pihak.

“Bukan niat kami untuk menyinggung perasaan sesiapa cuma sekadar menyampaikan karya seni melalui cabang muzik kepada masyarakat,” katanya.

Menerusi lagu Drama itu, kumpulan terbabit didakwa memaparkan beberapa karekter individu yang mencetuskan kontroversi.

Antaranya, penyanyi, Haqiem Rusli yang mengalami depresi, PU Abu menceraikan isteri yang ketika itu sedang hamil dan watak bekas Perdana Menteri dan isteri.

Disebabkan kontroversi yang tercetus, video persembahan Drama Band ‘digantung’ pihak TV3 daripada disiarkan di saluran Youtube TV3 Malaysia Official.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 11:42 AM