ABAM Bocey
ABAM Bocey
Sudirman Mohd Tahir

GENAP seminggu pemergian Allahyarham Abam Bocey, namun hampir setiap hari kisah mengenainya menjadi paparan media.

Begitu juga dalam kalangan sahabat baik Abam iaitu Fad dan Achey, satu persatu perkongsian dimuat naik di laman sosial mereka yang bercerita mengenai pengalaman bersama.

Titisan air mata yang mengalir cukup menggambarkan perasaan dilalui sekali gus membuktikan betapa utuhnya persahabatan mereka sejak membentuk Bocey.

Namun, seperkara yang menarik perhatian adalah keperibadian Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan yang terus meniti di bibir ramai orang.

Baik dalam kalangan keluarga, rakan artis, media mahupun peminat.

Malah, sepanjang karier Abam tidak pernah mencetuskan sebarang kontroversi atau terpalit isu pergaduhan. Personalitinya yang pendiam membuatkan dia mengambil sikap amembuat hal sendiri.

Di pentas lawak pula, Abam selesa menjadi diri sendiri. Kata dan cakap apa saja mengenai dirinya termasuk fizikal diri, dia okey dan tersenyum saja. Tidak pernah sekali pun dia merajuk hati atau terasa kerana menganggap semua itu gurauan semata-mata.

Kita selalu dengar, orang baik pasti dibalas baik. Abam adalah orangnya. Ia berlaku depan mata kita hari ini. Sejak berita pemergian Abam dilaporkan sehingga sekarang, rumah Abam tidak berhenti diziarahi orang ramai. Begitu juga dengan pusara arwah.

Rezeki buat Abam juga apabila ribuan jemaah memberi penghormatan terakhir untuknya pada solat jenazah di Masjid Gombak Utara. Jumlah itu dikatakan jauh lebih ramai daripada jemaah solat Jumaat di masjid berkenaan.

Begitu juga ketika jenazah dikebumikan apabila berebut-rebut sahabat mahu turun ke liang lahad untuk menguruskan jenazah. Semua itu bukti betapa baiknya arwah sepanjang hayatnya dengan rakan.

Itu belum lagi ketika perjalanan arwah dibawa ke tanah perkuburan yang diiringi pasukan bermotor hingga mengakibatkan kesesakan jalan.

Kalau diikutkan, semua itu tidak mempunyai kaitan atau pertalian darah dengan Abam. Tapi, disebabkan kebaikan yang ada pada arwah, itu balasan untuknya biarpun sudah tiada.

Paling menarik perhatian juga apabila seorang wanita memberitahu Abam menampung persekolahan anaknya selama ini. Dalam diam, Abam melakukan kebaikan tanpa perlu menghebohkan kepada umum.

Diceritakan penjaga kubur, wanita itu mengakui dia dan anak banyak menerima sumbangan daripada arwah, malah Abam yang menyekolahkan anak dan menampung keluarganya.

Muncul pula, stokis peralatan sauna, Hamidah Husin yang berkongsi kebaikan Abam yang menolak menerima bayaran selepas Abam mempromosikan di Instagram.

Jawapan diberikan Abam ketika itu adalah rezeki bersama daripada Allah. Ternyata pada pengakhiran hayatnya, Allah datangkan rezeki yang berlipat kali ganda untuk Abam atas kebaikan dilalukan.

Terdetik seketika, siapa lagi yang dibantu arwah sepanjang hayatnya? Semoga segala kebaikan arwah menjadi pedoman buat semua.

Percayalah, perbuatan yang baik tetap dibalas baik. Kalau bukan semasa hayat, tapi di akhirat kelak.

Semoga roh Abam ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin...al-Fatihah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 6:30 AM