“KALI pertama saya mengenali arwah pada 2006. Sejak itu dia tidak putus memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim dalam bentuk wang ringgit atau keperluan harian,” kata pengasas Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidi Khadijah, Esah Lila @ Esah Abdullah mengenai sikap Allahyarham pelawak popular, Abam Bocey yang kerap menghulurkan sumbangan.

Esah, 61, ketika ditemui berkata berkata, amanat terakhir ditinggalkan Abam adalah supaya dia menjaga kesihatan dan 50 penghuni rumah itu yang berusia dua hingga 23 tahun.

Katanya, kali terakhir dia bertemu Abam ialah sebelum pertandingan akhir Maharaja Lawak Mega 2019 lalu.

“Ketika itu arwah datang seperti biasa. Dia bertanya khabar dan bersembang. Sebelum pulang dia menghulurkan sumbangan RM1,000 untuk anak-anak di sini sambil berpesan supaya saya menjaga kesihatan sekali gus dapat menjaga anak-anak di sini.

“Itulah kenangan terakhir saya bersama arwah yang saya akan ingat sampai bila-bila. Selepas kematiannya, saya masih belum cukup kuat untuk berdepan dengan situasi dia sudah tiada. Dia memanggil saya dengan panggilan ibu. Jadi, hubungan kami sangat rapat,” katanya.

ABAM Bocey. FOTO Sairien Nafis
ABAM Bocey. FOTO Sairien Nafis

Menurut Esah, Abam akan menghulurkan sumbangan setiap kali datang ke situ dan dia seorang yang berahsia mengenai amal kebajikan yang dia buat termasuk meminta Esah merahsiakan perkara itu.

“Saya berkongsi kebaikan arwah ini sebab saya nak orang tahu itulah arwah sepanjang hayatnya. Saya minta maaf kepada arwah kerana berkongsi perkara ini.

“Saya mahu apa yang dibuat ketika hayatnya menjadi inspirasi dan ikutan kepada sesiapa saja termasuk golongan artis,” katanya.

Menurut Esah, satu-satu kenangan yang ditinggalkan arwah kepadanya adalah gambar mereka bersama.


“Selama Abam datang berjumpa kami, dia tak bagi saya mengambil gambar atau bercerita kepada umum. Namun, ada sekali saya dapat bergambar berdua dengannya dan foto itulah satu-satunya gambar kenangan kami bersama. Dan foto itu jugalah yang saya tatap setiap hari untuk melepaskan rindu,” katanya.

Allahyarham atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia di kediamannya di Gombak pada 10 Februari lalu.

Allahyarham meninggalkan isteri, Siti Nurhidayah Mohd Ali dan seorang anak lelaki berusia lapan bulan, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 3:15 PM
Digital NSTP Subscribe