PEMINAT (dari kiri) Mohd Razif Mohd Haris, Muhammad Azrai dan Wazir Samsuddin membacakan doa dan menyiram air mawar ketika menziarah kubur Allahyarham Abam Bocey. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PEMINAT (dari kiri) Mohd Razif Mohd Haris, Muhammad Azrai dan Wazir Samsuddin membacakan doa dan menyiram air mawar ketika menziarah kubur Allahyarham Abam Bocey. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali


MASIH ramai yang menziarahi kubur pelawak Allahyarham Abam Bocey di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak sehingga hari ini.

Tinjauan RAP kelmarin mendapati kubur Allahyarham yang meninggal dunia pada 10 Februari lalu masih basah apabila terus diziarahi orang luar sejak awal pagi.

Seorang peminat, Muhamad Azrai ketika ditemui berkata, ini adalah kali kedua dia menziarahi kubur Abam.

“Kami tiada pertalian saudara atau kawan sebaliknya saya meminati lawak-lawak yang dia persembahkan. Saya datang hari ini (kelmarin) pun sebab tinggal di sekitar sini saja. Jadi saya ambil peluang untuk menziarahi pusaranya. Sebelum ini ketika pengebumian pun saya ada datang.

“Sewaktu saya datang tadi kuburnya masih basah, bermakna setiap masa ada saja orang yang datang,” katanya.

ABAM terus diingati. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ABAM terus diingati. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Menurut Azrai, dia kagum apabila arwah seorang individu yang suka menderma dan mementingkan keluarga.

“Sepanjang seminggu lalu saya banyak membaca kisah arwah di media sosial. Dia dikatakan seorang yang suka menderma dan mengutamakan keluarga, lebih-lebih lagi ibu bapanya.

“Kita doakan semoga arwah tenang di sana dan ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya.

Abam meninggal dunia pada usia 32 tahun di kediamannya di Gombak pada jam 7.15 pagi, 10 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 6:30 AM
Digital NSTP Subscribe