X
DATUK A. Aida di Anugerah Juara Lagu 34 yang diadakan di Axiata Arena. FOTO Eizairi Shamsudin
DATUK A. Aida di Anugerah Juara Lagu 34 yang diadakan di Axiata Arena. FOTO Eizairi Shamsudin
Syafil Syazwan Jefri


PENERBIT terkenal, Datuk A Aida mengakui dipikat tujuh lelaki sejak kemunculannya pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) baru-baru ini dengan penampilan baharu tanpa hijab.

A Aida bagaimanapun berkata, dia menolak kesemua lelaki itu disebabkan tidak memiliki kriteria bertubuh sasa seperti diinginkan.

"Selepas AJL34 baru-baru ini, ada tujuh lelaki nak mencuba nasib. Saya cakap, 'tidak'. Saya nak lelaki yang bertubuh sasa dan ada 'six pack'. Jadi, kalau mereka nak dekati saya, pergi 'betulkan' perut dulu," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya tindakannya membuka tudung, A Aida mengakui ia perbuatan yang berdosa.

"Saya tahu, saya berdosa kerana membuka hijab, tapi saya selesa. Dulu, saya pakai tudung kerana taat kepada suami. Bila dah tak bersama, saya ambil keputusan untuk tidak lagi berhijab.

"Saya mula membuka hijab sejak penghujung tahun lalu ketika saya berada di Maldives. Apa pun, doakan yang terbaik kerana semua mahukan yang terbaik," katanya.

Mengenai perubahan wajah dan bentuk badannya, Aida memaklumkan itu adalah kesan positif daripada kerja kerasnya menjalani senaman di gimnasium.

"Saya ada jurulatih peribadi yang melatih di gimnasium. Dalam seminggu, tiga kali saya akan ke gimnasium dan kerja keras selama tiga tahun menampakkan hasil apabila bentuk wajah saya berubah runcing.

"Selain itu, saya juga mengamalkan pemakanan sihat antaranya pengambilan stem cell, sarang burung dan juga mengamalkan diet telur rebus," katanya.

A Aida kini dalam rangka mempromosikan filem terbaru terbitan syarikatnya, Ratu Kala Jengking: Puteri Kubur yang bakal menemui penonton 27 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 11:39 AM