PEMERGIAN selebriti tanah air pada usia muda tinggalkan legasi karya yang akan terus diingati.
PEMERGIAN selebriti tanah air pada usia muda tinggalkan legasi karya yang akan terus diingati.
Syafil Syazwan Jefri


BULAN kedua untuk 2020, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan beberapa berita kematian selebriti tanah air. Terbaharu adalah berita pemergian Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia di Jakarta, Indonesia akibat serangan jantung pada Selasa lalu.

Ajal maut tidak mengenal usia. Setiap takdir dan ketentuan semuanya sudah ditetapkan Allah SWT dan kita sebagai manusia harus akur dengan ketentuannya.

Selepas berita kematian Ashraf mendapat liputan di Malaysia dan Indonesia, ramai juga yang mengaitkan kematian suami penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari itu adalah kesan daripada alatan kesihatan yang digunakannya.

Walaupun selepas dua hari, kisah itu masih menjadi perdebatan warganet apatah lagi selepas ia dimuat naik pelakon berusia 41 tahun itu di Instagram iaitu beberapa hari sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

Kematian secara mengejut lebih memberikan kesan kepada keluarga dan sahabat taulan yang ditinggalkan. Perasaan sama juga dikongsi keluarga Allahyarham Abam Bocey.

Pemergian Abam, 32, adalah rentetan daripada demam yang dihidapinya sebelum disahkan meninggal dunia pada 10 Februari lalu.

Tidak hanya menjadi kejutan buat keluarga terdekat, abang kepada pelawak, Ali Puteh itu juga menumpahkan air mata peminat, masyarakat, bahkan turut mendapat ucapan kesedihan daripada ahli politik tanah air.

Selain Abam, beberapa lagi selebriti tanah air yang meninggal dunia pada usia muda.

Pelawak, Allahyarham Yussry Edoo atau lebih dikenali sebagai Pak Yus Jambu menghembuskan nafas terakhir pada usia 39 tahun, juga akibat serangan jantung.

Tentunya, ia menjadi kejutan besar buat seluruh industri pada 2015. Lebih menyayat hati, Pak Yus ketika itu masih bergelar peserta dalam satu program realiti komedi bersama Tauke dan Misha Omar.

Mengimbas semula pada 2006, seluruh negara dikejutkan dengan berita kematian pelakon, Allahyarham Hani Mohsin. Hani yang juga bekas suami Puan Seri Tiara Jacquelina meninggal dunia pada usia 41 tahun akibat serangan jantung.

Setahun selepas itu, industri hiburan tanah air sekali lagi meratapi pemergian pelakon hebat, Allahyarham Izi Yahya.

Izi yang dikenali dengan watak antagonis dalam filem popular seperti Ali Setan dan Embun menghembuskan nafas terakhir pada usia 42 tahun, juga akibat serangan jantung.

Pada 2010, dua kematian yang paling diingati seluruh pemain industri dan peminat adalah berita kematian penyanyi, Allahyarhamah Yanie Mentor dan Allahyarham Shamrin Fotograf.

Yanie yang dikenali dengan vokal mantapnya serta kelincahannya saat membuat persembahan menghembuskan nafas terakhir pada usia 25 tahun akibat ketumbuhan di bahagian paru-paru sejak Disember 2009 dan jangkitan kuman dalam darah.

Sementara itu, Shamrin pula meninggal dunia pada usia 45 tahun. Tanpa sebarang petanda, Shamrin dikhabarkan rebah ketika bermain bola sepak di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pada 2011, pelakon, Allahyarham Faizal Yusof yang juga bekas suami penyanyi, Siti Nordiana menghembuskan nafas terakhir pada 2011 akibat serangan jantung pada usia 33 tahun.

Pada 2012, penyanyi, Allahyarham Izwan Pilus pula disahkan meninggal dunia akibat Leptospirosis atau jangkitan kuman dalam darah dan jangkitan kencing tikus yang serius.

Penyanyi lagu Kembali Senyum itu kembali ke Rahmatullah pada usia 32 tahun dan kehilangannya dirasakan bukan saja dalam kalangan peminat bahkan penonton setia program yang pernah diacarakannya.

Apa yang pasti, setiap yang pergi tentunya akan meninggalkan legasi karya yang akan terus diingati dan segar dalam hati peminat sampai bila-bila.

Buat mereka yang sudah pergi meninggalkan kita, semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 9:34 PM