RAIHAN ambil langkah berhati-hati apabila merakamkan single kedua bersama Alif Satar. FOTO Amirudin Sahib
RAIHAN ambil langkah berhati-hati apabila merakamkan single kedua bersama Alif Satar. FOTO Amirudin Sahib
Ridzuan Abdul Rahman

TIDAK mahu pisang berbuah dua kali, anggota kumpulan Raihan kini mengambil langkah berhati-hati apabila merakamkan single kedua bersama penyanyi, Alif Satar.

Anggotanya, Abu Bakar Md Yatim berkata, lagu yang masih dirahsiakan judulnya ini tidak membabitkan mana-mana pihak yang boleh mendakwa kepunyaan mereka.

“Ia tiada kena mengena dengan mana-mana pihak. Kami lebih berhati-hati kali ini kerana mengambil pengajaran dari yang lepas.

“Lagu ini tiada kena mengena dengan sesiapa dan hanya membabitkan pihak lain. Harapnya pihak ini okay,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Raihan dan Alif tampil dengan single berjudul Sesungguhnya 2019 pada Mei tahun lalu yang mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Bagaimanapun, ia menimbulkan perasaan kurang senang dam peminat serta bekas anggota mereka, Nazrey Johani yang juga penulis dan penggubah lagu ini.

Bahkan Nazrey turut merakamkan semula lagu ini yang menampilkan penyanyi Dwi Dina diberi tajuk Sesungguhnya 2020.

Bercerita lanjut, Abu Bakar berkata, mereka baru sahaja menghabiskan rakaman lagu ini pada Ahad lalu.

“Ia dihasilkan rentetan daripada kejayaan Sesungguhnya 2019. Judul lagunya biarlah Alif yang umumkan nanti. Ini projeknya dan dia yang pilih lagu ini.

“Kami pun terkejut kerana ini lagu lama Raihan. Tak semua orang tahu kecuali peminat tegar Raihan. Tapi apabila fikir balik, tak hairanlah kerana dulu ibu bapa Alif beli kaset Raihan ketika mereka belajar di London dulu.

“Kami jarang menyanyikan lagu ini di Malaysia tapi ia sangat popular di Indonesia. Malah Dewi Gita, isteri Armand Maulana pernah menyanyi dengan Raihan di TV Indosiar suatu ketika dulu,” katanya.

Menurutnya, mereka bersungguh-sungguh untuk memberikan hasil terbaik apabila proses memasukkan vokal yang bermula pada tengah malam, hanya berakhir pada waktu Subuh.

“Alif dah siap masuk vokal tapi dia datang juga untuk beri sokongan moral. Kesungguhan dia memang buat kami kagum. Ini semua dari idea Alif dan sebagai abang, kami serahkan kepada dia untuk rancang semuanya.

“Selain itu, ada juga kejutan dalam muzik video lagu ini dan sebahagian rakaman untuk babak kejutan dah dibuat. Siapa yang akan tampil, biarlah rahsia dulu. Kami pun kena tutup mulut sehingga Alif umumkan sendiri.

“Sebenarnya ada beberapa pihak yang nak berkolaborasi dengan Raihan, tapi dengan Alif prosesnya amat mudah. Rupanya Allah pun permudahkan. Muzik videonya dah dapat tontonan 19 juta kali di YouTube,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 6:41 PM