DATUK A. Aida FOTO Eizairi Shamsudin
DATUK A. Aida FOTO Eizairi Shamsudin
Sudirman Mohd Tahir


KEMUNCULAN jejaka sado yang hadir bersama penerbit terkenal, Datuk A Aida pada Konsert Romantikan Datuk Awie baru-baru ini menimbulkan persoalan banyak pihak.

Ramai mula berteka-teki adakah itu pasangan baru A Aida selepas dia menolak tujuh lelaki yang tidak menepati kriteria berbadan sado.

A Aida, 50, ketika dihubungi mengakui sedang berkawan dengan lelaki itu namun perhubungan mereka masih dalam fasa mengenali hati budi.

“Saya sudah agak soalan ini akan timbul. Saya jenis yang selesa bercakap benar. Ya, saya dengan dia sedang berkawan. Tapi, perhubungan masih peringkat awal iaitu saling berkenalan.

“Saya tidak mahu terburu-buru dalam soal mencari pasangan. Saya mahu relak dulu. Lagi pula, apa yang menjadi keutamaan sekarang tetap pada perniagaan dan anak-anak.

“Kalau ada jodoh, adalah. Tapi, itu bukan fokus saya sekarang. Pada usia sekarang, banyak perkara lain perlu diberi perhatian,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai usia lelaki itu yang jauh lebih muda daripadanya, A Aida berkata dia tidak membataskan diri untuk berkawan dengan sesiapa.

“Dari dulu lagi saya okay saja dengan sesiapa. Macam sekarang ini pun, dia jauh lebih muda daripada saya. Tapi, saya selesa berkawan dengannya.

“Saya tidak fikir usia itu halangan. Cuma, saya kena lebih berhati-hati dalam perkara ini,” katanya.

Ditanya adakah lelaki sado itu jurulatih peribadi di pusat gimnasium tempatnya bermain gim, A Aida selesa mengunci mulut.

“Biarlah rahsia,” katanya ringkas.

Perkembangan lain, A Aida bakal muncul dengan filem terbitan pertama syarikatnya, Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda pada 27 Februari ini.

Filem arahan Bade Azmi itu menampilkan Nadia Brian, Firman Siagan, Amar Asyraf, Putra Amaris, Eyra Hazali dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 12:17 PM