(Gambar kiri) Nazrul Azhar (paling kiri) bersama anggota Rabbani. (Gambar kanan) Keadaan Nazrul Azhar yang dimasukkan ke Hospital Selayang semalam. FOTO  Instagram Azadan Abd Aziz.
(Gambar kiri) Nazrul Azhar (paling kiri) bersama anggota Rabbani. (Gambar kanan) Keadaan Nazrul Azhar yang dimasukkan ke Hospital Selayang semalam. FOTO Instagram Azadan Abd Aziz.
Syafil Syazwan Jefri


ANGGOTA kumpulan Rabbani, Nazrul Azhar Tamrin, 44, yang mengalami masalah buah pinggang dimasukkan ke Hospital Selayang semalam selepas suhu badannya meningkat ketika sedang melakukan rawatan dialisis.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, Nazrul masih dalam keadaan lemah dan masih di bawah pemerhatian doktor.

"Setakat ini, doktor maklumkan bahawa badannya dalam keadaan lemah. Tapi, tekanan darah dan paras gulanya semakin stabil. Namun, doktor juga mengesahkan bahawa ada jangkitan kuman dalam paru-parunya.

"Jadi, mereka khuatir sekiranya jangkitan itu merebak dan akan menjangkiti organ tubuh yang lain," katanya.

Sehubungan itu, Azadan kini berbincang dengan rakan-rakan anggota Rabbani untuk mengadakan program tabung kutipan untuk membantu Nazrul.

"Nazrul masih bersama Rabbani, tetapi sudah masuk tahun ketiga dia tidak dapat membuat persembahan bersama kami. Bagaimanapun, setiap kali kami buat persembahan, akan ada bahagian untuknya yang kami akan berikan.

“Namun, jumlah yang ada tidak mencukupi kerana kos perubatannya agak tinggi. Jadi, kami akan adakan satu program kutipan sumbangan yang sedikit sebanyak dapat membantunya untuk menampung kos rawatan," katanya.

Menurut Azadan, apa yang menimpa Nazrul amat memberi kesan kepada anggota yang lain.

"Kami umpama satu keluarga dan Nazrul seperti tulang belakang Rabbani. Ketika dia masih sihat, dialah yang banyak menguruskan pelbagai hal berkaitan kumpulan kami.

"Jadi, apabila dia sakit, kami semua rasa sangat terkesan dan ini masanya untuk kami membantunya dan keluarga. Saya mohon supaya peminat-peminat sentiasa mendoakan kesejahteraan kesihatannya dan semoga Allah berikan keajaiban dan sembuhkan penyakitnya.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada penganjur acara dan mereka yang menjemput Rabbani membuat persembahan. Sedikit sebanyak, ada juga bantuan kewangan yang dapat kita semua salurkan kepadanya," katanya.

Sejak tiga tahun lalu, Nazrul yang juga bapa kepada enam anak itu kerap berulang-alik ke hospital untuk menjalani rawatan masalah buah pinggangnya.

Namun, keadaannya bertambah teruk sejak semalam dan dikejarkan ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 6:57 PM