KEADAAN anak Fad yang besi tertusuk gusi. FOTO instagram @syaheerarahman
KEADAAN anak Fad yang besi tertusuk gusi. FOTO instagram @syaheerarahman


PELAWAK popular Fad Bocey berdepan detik mencemaskan apabila anak kembar lelakinya, Favian Adrazin Zayyan, 5, mengalami kecederaan selepas gusinya tertusuk besi alat kawalan jauh (remote control) kereta permainan, malam tadi.

Fad ketika dihubungi berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh bapa mentuanya selepas selesai majlis tahlil Allahyarham Abam jam 10.30 malam.

“Abah beritahu Zayyan bersama kembarnya, Favian Adrazin Hayyan bermain dalam bilik mereka dan dia tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku. Mungkin mereka berebut alat kawalan jauh itu," katanya.

Menurut Fad, sebaik tiba di rumah dia bergegas membawa Zayyan ke sebuah pusat perubatan swasta di Setia Alam dan doktor melakukan pembedahan kecil.

“Dia dibawa masuk ke dewan pembedahan pada jam 1.30 pagi. Dia dibius sepenuhnya kerana keadaannya menyakitkan dan besi itu sukar ditarik keluar. Lagipun, dia masih kecil untuk menariknya sendiri.

“Pembedahan mengambil masa kira-kira 45 minit. Saya bersyukur hari ini dia sudah stabil dan dibenarkan keluar hospital," katanya.

Fad dan isteri, Nur Syahirah Abdul Rahman mendirikan rumah tangga pada 14 Mac 2015. Pasangan itu dikurniakan anak kembar lelaki dan anak perempuam, Nur Aminah Mishall.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 4:53 PM
Digital NSTP Subscribe