NAIM Daniel (kanan) bersama Man Kidal. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
NAIM Daniel (kanan) bersama Man Kidal. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Ridzuan Abdul Rahman


“SESUNGGUHNYA segala kecelakaan itu datangnya daripada tangan manusia sendiri.”

Demikian kata penyanyi Naim Daniel, 23, yang memetik ayat Surah Al-Baqarah apabila diminta berkongsi perasaannya terhadap kecaman yang dilemparkan netizen terhadap Dayana Amerda, wanita yang mendakwa hak cipta bersama lagu Sumpah nyanyiannya.

Dayana teruk dikecam netizen yang melihatnya cuba mengambil kesempatan terhadap Naim selepas lagu itu menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34).

Naim secara berkias berkata, apa-apa yang berlaku sebenarnya adalah kerana kesilapan seseorang individu itu sendiri.

“Seperti saya katakan sebelum ini, kalau kita tulis yang baik-baik, maka baiklah kita dapat dan kalau tulis yang buruk-buruk maka buruklah kita dapat. Saya pun tak tahu kenapa saya cakap begitu pada malam kemenangan AJL . Allah nak gerakkan dan kita dapat lihat ‘blue print’ apa yang jadi sekarang. Saya bukan nak kata saya baik daripada orang lain. Saya pun ada cacat-cela tapi takkanlah nak buka pekung sendiri kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran single terbarunya Sembah yang menampilkan kerjasama dengan pemain gitar, Man Keedal.

Naim berkata, dia akan sentiasa menjaga perlakuannya setiap masa.

“Sebaik-baik Allah tutup aib kita, jadi jagalah diri kita. Saya sebenarnya tak terkesan dengan apa yang berlaku. Tiada isu pun saya begini, ada isu pun saya begini. Kalau orang anggap apa yang berlaku itu dikaitkan dengan populariti, itu pandangan mereka. Bagi saya ia ibarat api, kemudian jadi bara dan seterusnya jadi abu. Tempohnya sekejap saja,” katanya.

Bagi memastikan dia kekal relevan dalam bidang seni, Naim mahu mahu bekerja keras menunjukkan bakat sebenarnya kepada peminat.

“Itu yang buat kita kekal dalam kerjaya ini. Isu berbangkit mungkin secebis kisah tapi saya nak dikenali dengan aura positif seperti mana saya buat hantaran yang elok-elok di media sosial.

“Secara mudahnya saya tenang dan tak rasa tercalar kerana saya berdiri pada kedudukan yang betul. Alhamdulillah, rata-rata peminat mendoakan yang baik-baik kepada saya,” katanya.

Menurutnya, selepas AJL34 semua pihak seakan merestui perjalanannya sebagai anak seni.

“Apabila jadi isu macam ini pun orang masih mendoakan yang baik-baik. Ujian ini mungkin bertujuan nak menjadikan saya memperbaiki diri jadi lebih baik. Ia banyak mengajar dan setakat ini saya gembira dengan apa yang saya ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 5:29 PM
Digital NSTP Subscribe