Nurhidayah
Nurhidayah
Sudirman Mohd Tahir


KETIKA negara masih dibelenggu isu politik bagi menentukan siapa kerajaan dan pembangkang, industri hiburan juga tidak kurang panasnya.

Isu dan kontroversi bersilih ganti bagai tidak berpenghujung yang menyaksikan ‘Jabatan Netizen’ bekerja 24 jam dengan ulasan lengkap daripada pelbagai sudut pandangan.

Media pula dipersalahkan kerana tidak berhenti ‘mengerah’ akal dan tangan mereka untuk melontarkan kritikan baik dalam bentuk buah fikiran atau hinaan.

Namun, hakikat yang perlu diterima itulah makanan dan hidangan yang sentiasa dinantikan netizen. Tak perlu makan, mereka sudah kenyang dengan sajian pemberitaan.

Belum sempat media mengalihkan perhatian daripada isu Sajat bertelekung di Tanah Haram, bekas kekasih penyanyi, Naim Daniel iaitu Dayana muncul kembali membangkitkan isu hak penciptaan lagu Sumpah.

Dalam sidang media diadakan, pihak Dayana menuntut kejujuran daripada Naim dengan mengakui dia juga pencipta lagu itu. Tidak mengharapkan wang kemenangan atau royalti, apa diinginkan adalah kesepakatan bagi meleraikan segala kekusutan.

Biarpun selepas seminggu pihak Dayana menunggu kedatangan Naim bagi melerai pertikaian, ia nampaknya memusnahkan impian seperti apa yang dihajatkan.

Dayana
Dayana

Jika benar seperti dakwaan, apa makna sebuah kemenangan jika tidak ada kejujuran dalam karya penciptaan? Kenapa perlu menidakkan hak orang yang pernah menjadi sejarah dalam kehidupan?

Andai permintaan itu sebuah drama rekaan, kenapa perlu diwujudkan? Adakah sekadar untuk memalukan dan menimbulkan persoalan ketulenan lagu kemenangan?

Diselangi dengan kisah Naim-Dayana, air mata Ali Puteh dan ibu Allahyarham Abam Bocey pula mengundang hiba.

Ia berpunca selepas tular video balu Abam, Siti Nurhidayah Mohd Ali yang mendakwa terdapat kekangan dalam soal kewangan dan harta peninggalan arwah daripada pihak keluarga Abam.

Lantas, Ali yang gagal mengawal emosi hingga sanggup menggelar kakak iparnya itu dengan panggilan keterlaluan memaksa netizen berhempas-pulas mengutuk tindakannya.

Namun, juraian air mata Ali pada sidang media diadakan bukti ketulusan hatinya memohon maaf.

Namun begitu, persoalan tetap dibangkitkan netizen, adakah benar dakwaan Hidayah wujud konflik dalaman sebelum arwah meninggal dunia?

Siapa kita untuk menghakimi. Biarlah mereka selesaikan apa yang terbaik demi masa depan balu dan waris ditinggalkan, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang kini berusia lapan bulan.

Semoga dua isu ini menjadi pengajaran bersama terutama dalam membuat percaturan kehidupan.

Jangan menganggap makna kejujuran hanya dalam hal kewangan, tapi ia nilai dalam diri setiap insan.

Jangan menilai setitis air mata tanda keinsafan, tapi cuba fahami dan selami makna tersembunyi.

Akhir sekali, letaklah kejujuran dan air mata di tempat tertinggi supaya maruah diri tidak dicemari malah lebih dihormati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 6:45 AM