SEARCH guna khidmat Awie sebagai alternatif Konsert Apologia Search & Awie  28 Mac depan. FOTO Rohanis Shukri
SEARCH guna khidmat Awie sebagai alternatif Konsert Apologia Search & Awie 28 Mac depan. FOTO Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman


“SEARCH tiada pengurus dan saya ambil tugas untuk cari projek persembahan. Tak ada wang tambahan pun yang saya dapat dan tetap bahagi lima,” kata pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud berkenaan tanggungjawabnya kini.

Nasir bersama Din (gitar), Kid (gitar) dan Pae (pemain dram undangan) kini menggunakan khidmat Datuk Awie untuk menjayakan Konsert Apologia Search & Awie yang akan berlangsung di The Bee, Publika di sini, pada 28 Mac depan.

Apatah lagi, keputusan kerjasama itu diambil kerana vokalis Search, Amy memberi alasan sibuk dan tidak dapat memberi komitmen untuk konsert terbabit.

Nasir berkata, kebiasaannya dia mengambil langkah berjumpa penganjur yang berminat untuk berbincang bagi memastikan anggota kumpulan Search terus mendapat rezeki.

“Sebahagian besar, mereka akan menghubungi saya kerana tahu perkara ini. Ada kala kalau mereka hubungi Amy atau pengurusannya, saya akan dimaklumkan juga.

“Setiap urusan selalunya akan dirujuk kepada Amy. Saya pula umpama ‘koperal balai’ saja kerana Amy adalah jeneral. Jadi, saya pasti jumpa Amy dan kemas kini setiap perkara. Dia pula akan tanya apa yang sesuai dan pasti beri persetujuan. Apapun, Amy seorang yang mudah dibawa berunding,” katanya.

Nasir mengakui jadual Amy yang terlalu padat, membuatkannya terpaksa mencari alternatif lain bagi memastikan Search terus hidup.

“Selama ini, kami dah rehat hampir dua tahun. Bayangkan dalam tempoh itu (dua tahun) tidak ada sebarang undangan persembahan untuk Search dan bagaimana kami nak hidup.

“Apapun, kami juga sebenarnya ada dapat tawaran yang bagus untuk konsert yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam.

“Malangnya, tiga hari sebelum tandatangan kontrak, pengurusan Amy memberitahu dia tak dapat bagi komitmen kerana penat dan kena fokus pada perniagaan,” katanya terkejut dengan alasan berkenaan.

Mujurlah salah seorang daripada ‘kumpulan’ penganjur iaitu Amir Shah Daud, bersimpati dengan nasib Search dan menerusi syarikatnya Imaginex, mengambil langkah menganjurkan konsert di The Bee.

“Namun persoalannya, siapa penyanyi yang akan mengambil tempat yang dikosongkan oleh Amy itu? Menerusi perbincangan dengan Din, maka terkeluar nama Awie.

“Saya kemudian merujuk kepada Kid pula dan dia bersetuju serta anggap ini pilihan yang tepat. Saya pun suka dengan idea mereka,” kata Nasir.

Menurutnya, dia terus memaklumkan perancangan Search kepada Amy menerusi kiriman WhatsApp, namun tidak mendapat sebarang reaksi.

“Saya kata, sekiranya dia (Amy) enggan lagi menyanyi dengan alasan sama, ia adalah satu berita sedih kepada peminat Search.

“Saya juga kata, kalau betul dia tak boleh beraksi dengan Search lagi, jom kita buat konsert perpisahan untuk peminat.

“Sekiranya gagal buat konsert juga, kami sedia menanti Amy kembali bersama Search suatu hari nanti. Kami sentiasa ada untuknya. Tapi, mesej dikirim tidak berjawab,” katanya.

Nasir bagaimanapun meminta mana-mana pihak supaya tidak mengeruhkan keadaan.

“Saya tahu ini akan mengundang pelbagai persoalan. Tapi kami bukan nak bergaduh dengan sesiapa kerana niat kami hanya untuk ‘rock n roll’.

“Kami tak nak ada pihak ketiga yang cuba keruhkan keadaan dengan melaga-lagakan Search dan Wings serta Amy dan Awie. Kami semua okey,” katanya.

Awie pula berkata, dia tidak masuk campur dalam urusan dalaman Search dan melihat perkara ini dari sudut positif.

“Salahkah saya membantu? pembabitan saya dalam konsert ini adalah untuk membantu anggota Search mencari rezeki.

“Malah, saya juga mahu menghargai bakat mereka sebagai pemuzik profesional yang sudah hampir empat dekad dalam bidang ini,” katanya.

Tiket menyaksikan Konsert Apologia Search & Awie kini sudah dijual. Bagi mereka yang berminat boleh layari www.ilassotickets.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 6:55 AM