Najiy Jefri


PENYANYI Bob Yusof berharap peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza dapat memberikan sokongan terhadap single terbarunya berjudul Dan Hari Ini.

Bob berkata, dia tidak menolak antara faktor pelancaran single itu dibuat selepas persembahannya di Anugerah Juara Lagu Ke- 34 (AJL34) Februari lalu, adalah untuk menarik peminat penyanyi terkenal itu.

“Nak kata tidak, saya harapkan juga sokongan peminat Datuk Siti untuk turut sama menyokong single terbaru ini. Rasanya tak salah untuk peminat menyokong dan mendengarkan single baru ini selepas hampir dua tahun tidak tampil dengan lagu baru,” katanya.

BOB YUSOF
BOB YUSOF

Bob menggantikan Siti menyanyikan lagu Anta Permana di pentas AJL34 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Februari lalu.

Menurut Bob, dia mengakui impak menyanyikan lagu terbabit di AJL34, jumlah pengikutnya di laman sosial meningkat.

“Diakui persembahan saya bersama kejutan Siti pada malam AJL34 sedikit sebanyak menaikkan populariti dan pengikut saya di laman sosial,” katanya.

Dan Hari Ini adalah ciptaan komposer Sharon Paul bersama Hanz Guo Hang dan turut mendapat sentuhan penulis lirik popular Iman Imran.

Sementara Lirik video Dan Hari Ini kini boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music dan boleh didengari di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Joox dan Deezer.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 5:42 PM