AZWAN Ali
AZWAN Ali
Ridzuan Abdul Rahman


PENGERUSI Kesatuan Sekerja ANULAE Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Zakaria Abdullah melahirkan perasaan kesalnya terhadap tindakan Azwan Ali yang bertindak memaki hamun pegawai DBKL menerusi sebuah video yang tular sejak semalam selepas insiden keretanya dikenakan saman oleh anggota penguatkuasa mereka.

Zakaria menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, selebriti yang lebih dikenali dengan panggilan Diva AA itu tidak wajar berbuat demikian dan perlu mendukung prinsip Rukun Negara sebagai satu amalan hidup dan isu terbabit sepatutnya boleh diselesaikan secara berhemah.

“Saya pelik dengan Diva AA ini. Anggota kita menjalankan tugas. Ada ruang untuk Diva AA terbabit datang berjumpa Pegawai Kompaun dan masa itu ceritalah puas-puas apa sebenar berlaku.

“Negara kita bukan negara komunis. Semua rakyat berhak dan diberi hak untuk bersuara, mendapatkan hak adil walaupun melakukan kesilapan,” katanya.

Zakaria berkata, kesilapan bukan merupakan kesalahan selagi ia tidak dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

“Janganlah oleh kerana kita terkenal dipuja orang kita boleh sesuka hati memaki hamun anggota perkhidmatan PBT,” katanya.

Terdahulu isu ini menjadi hangat apabila Azwan memuat naik video memaki hamun penguatkuasa DBKL kerana menyaman keretanya yang diparkir di kawasan letak kereta di Bangsar.

Azwan tidak berpuas hati dengan tindakan DBKL itu kerana mendakwa sudah meletakan nota di cermin keretanya memberitahu meter parkir di lokasi terbabit rosak.

Sementara itu, Azwan yang dihubungi berkata, tindakan yang dilakukannya itu berasas dan bukan kosong.

“Makian saya bukan melulu atau semata-mata nak sembur mana-mana pihak, tapi berdasarkan prestasi mereka yang kalut, hancur, lembap dan apa sahaja yang tak betul di negara kita.

“Jangan main-main dengan Diva AA. Kalau rasa tak nak kena sembur, sila ambil tindakan sebelum saya mengamuk. Itu persoalan saya.

“Kenapa saya dah maki berbulan-bulan, baru DBKL terhegeh-hegeh nak berikan maklum balas. Video itu episod pertama dua bulan lalu. Baru sekarang nak bertindak?,” katanya.

Azwan mengakui tidak hairan sekiranya ada mana-mana pihak mahu mengambil tindakan terhadapnya.

“Silakan bawa isu ini kepada Perdana Menteri atau Yang di-Pertuan Agong sekalipun.

“Bagi saya isu DBKL bukan perkara baru kerana kebanyakan mesin bayaran parkir di Bangsar sering rosak.

“Satu kerja pula saya nak kena jalan kaki cari mesin semata-mata untuk bayar parkir. Kenapa mereka tak ambil tindakan susulan segera yang sempurna agar orang tak marah,” katanya.

Menurutnya, dia bangga kerana tindakannya ini mendapat sokongan ramai pihak yang sudah lama bersabar dengan kerenah DBKL.

“Saya boleh buktikan perkara ini. Apa yang pasti saya akan ‘hencap’ mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri sekalipun jika ada salah.

“Cuma, saya takkan menyentuh institusi diraja dan perkauman. Saya sedar sensitiviti itu. Saya akan maki hamun, ‘hencap’ dan makikan apa yang saya rasa tak puas hati.

“Ini istilah yang ditampilkan dalam YouTube saya DIVAAATERSOHOR why bother? X3 yang trending sejak tiga bulan lalu. Syukur iklan bertalu-talu masuk sejak episod Siapa Siti pecah rekod. Mencurah-curah rezeki masuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 3:28 PM