Sudirman Mohd Tahir


“SAYA dan isteri baik-baik saja. Tidak ada apa-apa berlaku antara kami,” kata usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri mengenai hubungannya dengan isteri, Datin Seri Nur Shahida.

Perkara itu mulai menjadi bualan apabila kedua mereka sudah tidak lagi saling mengikuti di Instagram.

Menguatkan lagi spekulasi mengenai masalah rumah tangga mereka apabila Aliff muncul menerusi lagu Cuba Bahagia yang bercerita mengenai lelaki yang dahagakan kebahagiaan dalam hidup daripada orang disayangi.

“Soal tidak saling ‘follow’ di Instagram saya tidak mahu komen. Apabila bercakap mengenai bahagia, bagi saya ia subjektif. Tapi, sudah tentu saya nak bahagia dengan keluarga dan anak-anak.

“Orang luar tidak faham. Dalam kehidupan ada pasang surut. Tekanan kerja, netizen dan keluarga ia ibarat pakej lengkap dalam hidup saya. Jadi, saya perlukan orang kuat di sisi saya.

“Jadi, apabila saya keluar lagu ini, ia tidak ada kaitan dengan dengan rumah tangga atau sesiapa pun. Kalau boleh tidak mahu sentuh mengenai keluarga dan isteri sebab mereka terbabit dalam lagu ini,” katanya.

Aliff yang ditemui pada sesi pelancaran dan tayangan video muzik rasmi lagu Cuba Bahagia di pejabat urusannya berkata, lagu itu bukan bertujuan untuk membuka aib hubungannya dengan isteri.

“Saya tidak aibkan keluarga. Saya tidak sentuh sesiapa pun. Saya bahagia dengan perkahwinan dan anak. Lagu ini saya tujukan untuk orang yang tak bahagia.

“Kadang-kadang dalam hidup saya kita tidak mendapat sokongan daripada orang sekeliling. Jadi, air mata darah yang dipaparkan dalam video muzik ini menceritakan apa yang saya rasa dan lalui sekarang.

“Pendek kata, lagu dan video muzik ini adalah luahan perasaan saya. Lirik ditulis oleh saya sendiri berdasarkan apa saya lalui. Malah saya percaya ramai rasa dan lalui perkara sebegini,” katanya yang mencipta lagu itu sejak enam bulan lalu.

Katanya, dia pernah memuat naik lagu itu di YouTube sebelum, tetapi bertindak memadamkannya.

“Sepanjang minggu ini saya berasa terlalu sedih hingga tahap agak memalukan saya. Malah, sampai satu tahap saya sangat ‘down’ dan rasa tak ada apa-apa. Disebabkan itu, saya ambil keputusan untuk lancarkan hari ini. Ia mewakili keseluruhan perasaan saya sekarang,” katanya.

Video muzik yang dilancarkan di saluran YouTube TV Terlajak Laris jam 12 tengah hari itu sudah mencecah lebih 40,000 tontonan, lebih 1,000 tanda suka dan lebih 9,000 tanda tidak suka.

Terdahulu, Aliff memuat naik video ‘teaser’ dia menangis darah di Instagram. Video itu mendapat pelbagai kecaman yang menyifatkan dirinya sengaja mencipta gimik dan kontroversi.

Sementara itu, Aliff enggan mengulas mengenai kes dakwaan dia memukul anak angkat yang berusia dua tahun.

“Untuk kes itu, no komen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 3:09 PM
DATUK Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida. FOTO ihsan instagram Aliff Syukri
DATUK Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida. FOTO ihsan instagram Aliff Syukri