PRODUKSI filem Algojo (The Killer) terpaksa menunda penggambaran berikutan penularan wabak Covid-19. FOTO Zaidi Mat Zain
PRODUKSI filem Algojo (The Killer) terpaksa menunda penggambaran berikutan penularan wabak Covid-19. FOTO Zaidi Mat Zain
Sudirman Mohd Tahir

SYARIKAT produksi MRB Network Sdn Bhd terpaksa menanggung kerugian mencecah ratusan ribu ringgit apabila terpaksa menunda penggambaran filem Algojo (The Killer) berikutan penularan wabak Covid-19.

Penolong Penerbit dan Pengurus Produksi, Zaidi Mat Zain atau lebih dikenali sebagai Botak berkata, filem itu dijadual menjalani penggambaran pada 24 Mac ini membabitkan lokasi di negara ini dan Bangkok, Thailand.

“Demi kebaikan dan keselamatan semua, kami sepakat menunda penggambaran filem ini. Bagaimanapun, tarikhnya tidak pasti sampai bila. Kena tunggu sehingga keadaan reda. Kami cuma boleh menjangkakan penggambaran boleh dibuat selepas Aidilfitri nanti. Apa pun bergantung kepada keadaan.

“Kami ambil maklum dan serius perkara ini. Ia berisiko untuk semua dan tak boleh dibuat main. Jadi, perlukan langkah pencegahan dari awal. Walaupun terpaksa menanggung kerugian, apa yang penting adalah keselamatan semua. Tidak mahu nanti terjadi masalah di pertengahan jalan, itu lebih susah nanti,” katanya.

BOTAK. FOTO Zaidi Mat Zain
BOTAK. FOTO Zaidi Mat Zain

Botak berkata, syarikat produksi juga terpaksa menanggung kerugian membabitkan kos penghantaran peralatan penggambaran dari Hong Kong.

“Peralatan itu sudah dalam perjalanan ke sini tapi penggambaran pula ditunda. Jadi, kami perlu bayar kos tambahan sehingga penggambaran dijalankan,” katanya.

Filem bergenre aksi arahan Arif Zulkarnain itu membariskan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Nam Ron, Amirul Affendy, Louisa Chong dan beberapa pelakon Thailand.

Jika penggambaran dijalankan mengikut jadual, filem itu bakal ditayangkan tahun depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 7:02 PM