PEMAIN gitar utama kumpulan Lefthanded, Man Kidal  FOTO Aizuddin Saad
PEMAIN gitar utama kumpulan Lefthanded, Man Kidal FOTO Aizuddin Saad
Ridzuan Abdul Rahman


“MEREKA seperti tak mengingati saya lagi seolah-olah saya tiada sejarah dalam Lefthanded. Minta maaflah saya bercakap begini,” kata pemain bass terkenal, Yan yang meluahkan perasaannya dalam temubual dengan saluran YouTube Kelkatu TV, baru-baru ini.

Difahamkan, kenyataan ini dikeluarkan Yan atau nama sebenarnya Amran Marsiman selepas tidak ‘diundang’ dalam Konsert Lefthanded Seruan X Datuk Ramli Sarip yang berlangsung di Capitol Theatre, Singapura pada 7 Mac lalu.

Konsert itu hanya menampilkan dua anggota Lefthanded, Datuk Nash (penyanyi) dan Man Kidal (pemain gitar) bersama penyanyi undangan, Datuk Ramli Sarip. Mereka turut disertai Hafiz iaitu anak kepada anggota Lefthanded, Allahyarham Man Dayak sebagai pemain dram.

Pemuzik lain yang terbabit ialah Ritz Metalasia sebagai pemain gitar, manakala tempat Yan digantikan Fly Halizor.

Dalam temubual sama, Yan turut memaklumkan dia masih lagi anggota kumpulan rock legenda itu yang ditubuhkan pada 1979.

“Saya tak pernah keluarkan kenyataan saya undur diri atau keluar dari Lefthanded. Kalau saya bercakap nanti akan jadi isu pula. Saya masih aktif sebagai pemuzik tapi lebih kepada persembahan peribadi dan bukan ditonjolkan di YouTube. Saya juga masih lagi membuat persembahan di sana sini,” katanya.

Yan diiktiraf sebagai antara pemain bass dihormati dalam industri muzik tanah air. Permainannya yang ‘versatile’ membuatkan dia sering menjadi pilihan untuk rakaman album dan persembahan penyanyi popular antaranya Datuk M Nasir, Ella dan ramai lagi.

Selain Lefthanded, Yan juga pernah menganggotai kumpulan Search dan XPDC.

Sementara itu, Man Kidal ketika ditemui berkata, anggota Lefthanded tidak pernah ada sebarang isu dengan Yan.

“Kami masih berhubung. Cuma, pada saya mungkin belum masanya kami dapat bersama. Mungkin dia agak sibuk.

Bagi saya, tiada yang negatif dalam hal ini. Secara peribadi saya tiada masalah dengan dia. Kami pernah bersama Yan dalam Konsert Rockmania 2019 di Pulau Pinang,” katanya.

Man berkata, faktor masa mungkin menjadi penyebab Yan tidak bersama mereka dalam konsert di Singapura.

“Memang namanya tiada kerana kami sudah menandatangani kontrak dengan penganjur. Lefthanded akan bergerak ke Sabah dan Brunei selepas ini. Insya-Allah Yan boleh turut serta sekiranya dia datang berjumpa dan berbincang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 11:02 AM