KONSERT Khai Bahar kerana Covid-19.
KONSERT Khai Bahar kerana Covid-19.
Sudirman Mohd Tahir


KONSERT sulung Khai Bahar iaitu Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur ditunda berikutan penularan wabak Covid-19.

Perkara itu disahkan Penerbit Eksekutif konsert berkenaan, Fauziah Ahmad Daud selepas mendapat nasihat daripada IB dan persetujuan bersama semua pihak terbabit.

“Semalam IB pun sudah mengeluarkan notis berkenaan penangguhan konsert ini. Jadi, sebagai langkah keselamatan semua kita perlu akur. Apatah lagi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sudah mengumumkan berkenaan penangguhan semua acara membabitkan orang ramai sehingga April.

“Insya-Allah, tarikh baru berkenaan konsert ini akan dimaklumkan pada Isnin ini selepas saya mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani,” katanya kepada Harian Metro.

Fauziah berkata, dia berharap peminat yang sudah membeli tiket tidak panik dan gusar berkenaan penangguhan konsert itu.

“Konsert ini tidak dibatalkan. Ia akan diteruskan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan. Kita tunda pun disebabkan perkara yang berlaku di luar jangkaan kita.

“Saya berharap peminat yang sudah membeli tiket sabar dan tenang. Saya percaya ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Perancangan Allah itu jauh lebih baik. Semoga apa yang dirancang ini akan terus berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Khai menyifatkan penangguhan itu sebagai langkah keselamatan untuk semua.

“Saya tahu ada peminat dari luar negara yang turut membeli tiket. Mereka juga melahirkan kebimbangan atas penularan wabak Covid-19 ini.

“Dalam masa sama, pihak IB juga tidak mahu ada sebarang masalah timbul. Jadi, penangguhan ini jalan terbaik. Insya-Allah, jika sudah ada tarikh baru akan dimaklumkan segera. Mungkin Allah nak gantikan dengan sesuatu yang lebih baik untuk kita semua. Jangan berhenti berdoa. Semoga yang baik-baik saja,” katanya.

Selain konsert Khai, pementasan teater Siti Di Alam Fantasi yang sepatutnya berlangsung bermula hari ini sehingga 21 Mac juga ditangguhkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 4:39 PM