FAD terima berita gembira selepas isterinya disahkan hamil anak keempat.
FAD terima berita gembira selepas isterinya disahkan hamil anak keempat.


ULANG tahun perkahwinan kelima pelawak Fad Bocey dikejutkan dengan berita gembira apabila isterinya, Syaheera Rahman disahkan hamil anak keempat.

Syaheera menerusi Instagram berkata, tiada sambutan istimewa memandangkan keadaan dirinya yang mengalami alahan teruk.

“Tiada yang istimewa tahun ini tapi ada rezeki yang paling istimewa Allah bagi. Kandungan hampir dua bulan dan ‘mommy’ minta maaf tiada sambutan istimewa. Nak bangun berdiri pun tak mampu lagi. Ya, sangat teruk ‘trimester’ pertama ini. Moga lebih kuat selepas ini sebab banyak kerja tertunggak .

“Terima kasih ‘daddy’ sebab uruskan semuanya. Makan minum ‘mommy’, anak-anak, sekolah anak pun ‘daddy’ siapkan. Hanya Allah yang dapat balas. Awak seorang suami terbaik,” tulisnya.

Menurut Syaheera, dia turut mendoakan supaya ulang tahun perkahwinannya itu terus kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

“Selamat ulang tahun perkahwinan yang kelima. Moga Allah terus melindungi, memelihara dan merahmati rumah tangga serta keluarga kita.

“Walaupun banyak dugaan tapi hanya kesabaran jadi benteng utama. Semoga kita lebih matang dalam hubungan ini . Susah senang kita biarlah jadi kenangan,” tulisnya.

Syaheera mendirikan rumah tangga dengan Fad pada 14 Mac 2015. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Favian Adrazin Hayyan, Favian Adrazin Zayyan dan Nur Aminah Mishall.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 5:16 PM