Daiyan Trisha
Daiyan Trisha
Georgie Joseph


Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha mengambil inisiatif sendiri untuk menyalurkan derma lebih RM7,000 kepada badan bukan kerajaan (NGO), keluarga, serta individu yang memerlukan pertolongan disebabkan penularan wabak Covid-19.

Daiyan berkata, dia memulakan inisiatif itu sejak beberapa hari lalu yang awalnya memfokuskan pemberian bantuan kepada golongan kurang berupaya demi meringankan beban mereka.

“Saya mengambil inisiatif ini untuk membantu keluarga yang kurang pendapatan, keluarga susah dan yang memerlukan bantuan kewangan. Saya sangat bersyukur dapat menyumbang.

“Bagaimanapun, bantuan saya cumalah satu peratus saja dan saya sangat memerlukan bantuan daripada orang ramai yang boleh menyumbang sama. Selepas habiskan peruntukan sendiri, saya masih menerima banyak mesej di laman sosial daripada individu yang perlu bantuan.

“Saya tidak boleh duduk diam dan perlu mencari jalan untuk memaklumkan mereka mengenai paltfrom berkenaan. Ada juga individu yang bertanya bagaimana mereka boleh tampil ke depan dan menyumbang sama,” katanya.

Daiyan turut berkongsi beberapa platform untuk memberi sumbangan dan berharap perkongsiannya itu akan memberi manfaat kepada individu yang mahu menyalurkan bantuan termasuklah Mercy Malaysia.

“Saya sendiri ada berhubung dengan organisasi ini menerusi mesej peribadi. Ini disebabkan saya tahu mereka ada platform untuk orang memberi sumbangan kepada masyarakat tidak berkemampuan di Malaysia.

“Mereka menyediakan peralatan membasmi virus kepada golongan warga emas, keluarga kurang pendapatan, individu disyaki dijangkiti virus, dan kurang bernasib baik,” katanya.

Selain Mercy Malaysia, Daiyan turut menyenaraikan organisasi bukan kerajaan IMARET, dan MyCARE.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 4:05 PM