IMAN seronok bergandingan dengan Fatin Afeefa dalam Bisikan.
IMAN seronok bergandingan dengan Fatin Afeefa dalam Bisikan.
Georgie Joseph


MENGHIDUPKAN naskhah seram antara impian setiap pelakon. Apatah lagi filem seram sentiasa menjadi pilihan penonton sehingga kini terutama yang gemarkan genre itu.

Buat pendatang baru, Iman Zulkarnain, 29, dia bertuah apabila tawaran membintangi filem Bisikan datang padanya.

Sekali gus, profil lakonannya semakin ke depan apabila terbabit dalam karya arahan Opie Zami itu.

Bagi Iman, peluang berkenaan sangat bermakna buatnya memandangkan itu filem sulung yang dibintangi sebagai watak penting. Justeru, dia tidak mahu mensia-siakan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Kalau ikutkan, sebelum ini saya pernah terbabit dalam filem, namun sekadar watak kecil. Jadi saya kira pembabitan dalam Bisikan adalah filem rasmi saya yang pertama.

“Tentu sekali saya amat gementar untuk menjayakannya terutama berlakon di samping pelakon handalan termasuk Azhan Rani dan Vanida Imran. Pengalaman bekerja dengan mereka adalah sesuatu yang saya tidak jangka.

“Disebabkan itu, saya membuat persiapan lebih rapi sebelum ke set penggambaran demi membe

rikan yang terbaik. Saya tidak mahu mencacatkan keseluruhan cerita dengan lakonan kurang berkesan,” katanya.

Bercerita lanjut, Iman juga mengakui cabaran terbesar dalam penggambaran filem itu tentu sekali untuk mendapatkan bentuk badan ideal. Dia terpaksa berdiet secara drastik untuk kelihatan lebih kurus.

Bagaimanapun, dia menganggap cabaran sebegitu lumrah dalam bidang lakonan dan tidak berasa terbeban.

Sebaliknya, dia seronok apabila kru di lokasi turut terjebak untuk berdiet sama selepas dia mengamalkannya.

“Memandangkan ia filem seram, jadi watak ini menuntut penampilan saya nampak terganggu sehingga bentuk badan jadi makin susut. Tentu sekali tidak mudah memandangkan fizikal dikehendaki itu perlu menepati kriteria.

“Lantas, produksi menyediakan makanan yang sesuai untuk saya amalkan sebagai diet sepanjang tempoh penggambaran. Memang mencabar juga apatah lagi melihat yang lain boleh jamah apa saja makanan.

“Namun, apa yang menyeronokkan juga apabila pelakon lain pun mula ikut saya berdiet. Sekurang-kurangnya, apa yang saya cuba amalkan di set penggambaran turut memberi kesan kepada mereka,” katanya.

Berkongsi mengenai keserasian dengan pelakon lain, Iman mengakui aspek itu bukan kerisauan terbesarnya. Selain Azhan dan Vanida, dia juga gembira dapat digandingkan semula bersama Fatin Afeefa.

“Semakin lama berada di set, saya semakin selesa terutama dengan Azhan. Begitu juga Fatin disebabkan sebelum ini kami pernah bergandingan dalam cerita lain.

“Kesimpulannya, tiada apa yang perlu dirisaukan untuk mengekalkan keserasian sesama pelakon. Saya bertuah disebabkan pelakon senior tidak lokek untuk berkongsi ilmu dalam memantapkan lagi setiap babak,” katanya.

Iman menjayakan watak Syafiq dalam filem berkenaan. Penggambarannya dilakukan di sebuah rumah usang terbiar di sekitar Kuantan, Pahang demi mendapatkan persekitaran yang sangat tepat untuk naskhah terbabit.

Diterbitkan oleh D Alpha Legacy Sdn. Bhd, filem itu turut menampilkan pelakon cilik, Puteri Rayyana Rayqa.

Bagaimanapun, buat masa ini pihak produksi belum menetapkan tarikh tayangan filem itu yang bakal ditayangkan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 6:36 AM
Digital NSTP Subscribe