ERNIE Zakri
ERNIE Zakri
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI, Ernie Zakri mengakui bulat hati mengenakan tudung selepas penularan wabak Covid-19 dan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dalam negara.

Ernie, 28, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, dia berharap penghijrahannya itu tidak disalah erti sebaliknya memohon doa supaya terus istiqomah.

“Sebagai manusia biasa sudah pasti sentiasa inginkan yang terbaik dalam hidup. Jadi, penghijrahan ini adalah pilihan saya. Sebenarnya, niat untuk bertudung sudah lama. Malah sebelum pergi umrah lagi.

“Tapi, mungkin disebabkan komitmen kerja perkara ini tertangguh. Apabila dapat duduk di rumah sepanjang PKP ini, saya mulai muhasabah diri dan berasakan ini waktu sesuai untuk berhijrah.

“Alhamdulillah, doakan yang terbaik pada saya dan paling penting kekal istiqomah. Saya berkongsi perkara ini supaya ia dapat memberi inspirasi dan aura positif pada orang lain juga,” katanya kepada Harian Metro.

Erni yang baru muncul dengan single Gundah berkata, dia berharap peminat tidak keliru jika terdapat penampilannya yang tidak bertudung di kaca TV selepas ini.

“Kalau masih ada penampilan saya yang tidak bertudung disiarkan, itu sudah lama dirakamkan. Harap ia tidak menjadi isu.

“Malah, dalam video muzik Gundah yang bakal dilancarkan pada Jumaat ini pun, penampilan saya masih belum bertudung. Jadi, saya berharap peminat faham,” katanya.

Menurut Ernie, penghijrahannya itu juga berkat daripada doa ibu bapa dan peminat yang sentiasa ingin yang terbaik dalam dirinya.

“Terima kasih pada semua yang sentiasa mendoakan saya. Semoga yang baik-baik untuk kita semua.

“Malah, saya juga sentiasa terbuka hati menerima nasihat dan teguran daripada semua selepas ini. Kita sama-sama belajar menjadi yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 8:37 PM