DARI kiri Napi, Lan, Ainul dan Ezal.
DARI kiri Napi, Lan, Ainul dan Ezal.
Syafil Syazwan Jefri


BAGI pengikut setia band popular Kristal, tentunya lagu Seragam Hitam bukan lagi asing, bahkan sentiasa meniti di bibir peminat sejak diterbitkan pada 2000.

Kini, selepas 20 tahun, lagu itu dihasilkan semula dan diberi nafas baru. Namun, menariknya kali ini apabila lagu itu disampaikan oleh band Kristal X yang membariskan tiga anggota asal iaitu Lan, Ainul dan Ezal.

Lan selaku vokalis berkata, penghasilan semula lagu Seragam Hitam adalah untuk mengembalikan nostalgia peminat di samping meraikan ulang tahun ke-20 band rock berkenaan.

“Kami bertiga adalah anggota asal Kristal sejak dari awal penubuhan. Jadi, kemunculan semula kami dalam Kristal X adalah mengembalikan kenangan buat peminat dan kami juga nak raikan ulang tahun ke-20 pembabitan di persada muzik tanah air,” katanya.

Ditanya sama ada lagu itu akan mencetuskan kontroversi kumpulan kerana band Kristal sudah berpecah akibat kepincangan antara Lan dan beberapa anggota lain, katanya, dia sudah mendapatkan kebenaran daripada pihak syarikat rakaman yang menerbitkan karya Seragam Hitam.

“Lagu Seragam Hitam adalah hak milik Luncai Emas selaku label. Kami dah minta kebenaran secara bertulis dan pihak Luncai Emas membenarkan saya dan Kristal X untuk menggunakan lagu ini untuk versi 2020. Jadi, saya rasa takkan timbul sebarang isu berkaitan dengan hak cipta lagu ini,” katanya.

Penggunaan nama Kristal juga dipilih kerana nama itu sudah menjadi satu jenama yang kuat dalam memperkenalkan identiti mereka.

“Sebelum ini, kami ada senaraikan beberapa nama untuk diguna pakai sebagai nama baru band. Namun, saya jenis yang suka buat kerja diam-diam dan bila dah ada hasil atau keputusan, baru sedia dikongsikan.

“Jadi, dalam semua nama yang dicadangkan, kami akhirnya sepakat memilih nama Kristal X. Lagi pula, sejak dulu memang orang panggil dan kenal saya sebagai Lan Kristal,” katanya.

Bagaimanapun, Lan juga menegaskan semua anggota Kristal X mempunyai kebebasan bekerja dan mencari rezeki dengan projek lain.

“Penubuhan Kristal X juga adalah untuk mencari rezeki buat kami semua meneruskan kelangsungan hidup. Jadi, kalau anggota lain ada menerima tawaran projek luar, tak menjadi masalah.

“Saya sendiri juga masih lagi meneruskan kerjaya sebagai penyanyi solo dan ada lagu sendiri. Jadi, saya tak mahu semua anggota Kristal X rasa terikat,” katanya.

Selain memperkenalkan Kristal X, turut dilancarkan juga video muzik Seragam Hitam versi 2020 yang pasti akan menghiburkan penonton.

Ditanya sama ada video muzik itu ada tersirat sebarang simbolik yang bermakna, Lan memaklumkan ia umpama mengimbau kisah perjalanan Kristal X.

“Mesej yang cuba disampaikan dalam video muzik Seragam Hitam itu adalah bagaimana kembalinya kami semua ke dalam band ini. Video muzik itu tidak menyindir sesiapa pun, tetapi itu realiti perjalanan kerjaya seni kami.

“Kami dipisahkan dengan cara berbeza, tetapi jalannya masih sama apabila ada anasir jahat yang seperti ingin memecahbelahkan persahabatan terjalin,” katanya.

Selain Lan, Ainul dan Ezal, Kristal X juga memperkenalkan seorang anggota jemputan mereka dikenali Napi selaku pemain gitar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 6:35 AM
Digital NSTP Subscribe