MARK ADAM
MARK ADAM
Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI Mark Adam, 40, bimbang dengan keadaan keluarganya di Filipina berikutan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia ketika ini.

Mark berkata, sumber asas di sana tidak seperti di Malaysia dan kini menjadi tanggungjawabnya untuk membantu keluarga terutama ibunya, Florenda Macaraig Echivarre.

“Saya sangat bimbangkan keadaan mereka. Dari segi bekalan keperluan asas dan perubatan, mereka mungkin tak ada banyak bekalan seperti di Malaysia. Menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka.

“Setakat ini, apa yang saya boleh buat untuk bantu mereka adalah dengan menyalurkan bantuan kewangan bagi memastikan mereka dapat membeli barangan keperluan harian,” katanya kepada Harian Metro.

Setakat ini, Filipina mencatat lebih 500 kes positif Covid-19 dengan 35 kematian.

Bagaimanapun, Mark bersyukur kerana kakaknya sentiasa berhubung dan memaklumkan perkembangan terkini mengenai keluarganya yang menetap di Cebu.

“Kakak saya sering berhubung dengan saya dan beritahu sekiranya keluarga saya memerlukan apa-apa. Yang paling penting sekarang adalah bekalan makanan memandangkan mereka pun tidak digalakkan untuk keluar rumah seperti kita,” katanya.

Mark juga menasihati masyarakat supaya duduk di rumah dan sentiasa menjaga keselamatan terutamanya bagi mereka yang menetap serumah bersama warga emas.

“Sistem imunisasi warga emas mungkin tidak sekuat kita dan mereka lebih mudah dijangkiti penyakit. Jadi, kita janganlah keluar dari rumah dan ‘bawa pulang’ penyakit yang boleh memudaratkan orang tua kita,” katanya.

Kali terakhir Mark pulang ke kampung halamannya adalah pada awal tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 11:31 AM
    Digital NSTP Subscribe