FAKHRUL membuka ruang kepada rakan artis dan peminat yang mahu belajar membaca al-Quran.
FAKHRUL membuka ruang kepada rakan artis dan peminat yang mahu belajar membaca al-Quran.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI nasyid, Fakhrul UNIC membuka ruang kepada rakan artis dan peminat yang mahu belajar membaca al-Quran bersamanya secara langsung di Instagram.

Fakhrul berkata, cara itu ia sekali gus membolehkan semua yang menonton mendapat manfaat bersama terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Aktiviti itu dilakukan setiap hari mulai jam 9:30 malam dan sudah dimulakan sejak 18 Mac lalu.

"Selalunya aktiviti ini saya buat pada Ramadan, tapi memandangkan tempoh PKP ini kita dinasihatkan duduk di rumah, jadi saya buat. Lagipun, ramai yang mempunyai banyak masa terluang.

"Pada mulanya saya buat dengan pengikut di Instagram. Kemudian, ada beberapa rakan artis yang memberikan maklum balas dan menyuarakan hasrat untuk turut serta. Disebabkan itu, saya jemput Johan Qariah Antarabangsa 2019, Farhatul Fairuzah untuk membaca al-Quran bersama.

"Alhamdulillah, maklum balas semakin banyak apatah lagi dia juga mempunyai pengikut dalam kalangan artis tempatan dan orang luar negara. Saya pun bertanya kepada beberapa rakan artis yang saya rapat seperti Alif Satar, Fad Bocey, Achey dan Siti Nordiana," katanya kepada Harian Metro.

Fakhrul berkata, apa yang berlaku ketika ini memberikan hikmah kepada semua orang.

"Apa saya buat ini sedikit sebanyak dapat memberi pengisian rohani. Ada hikmah PKP ini dilaksanakan. Kita dapat tengok ramai artis dan ustaz meluangkan masa berkongsi perkara bermanfaat. Jika tidak, masing-masing sibuk dengan kerjaya.

"Jangan malu nak membaca al-Quran dengan alasan tak pandai. Kesempatan dan ruang yang ada ini kita sama-sama belajar dan saling memperbaiki.

"Bukan saja artis, tapi orang biasa juga. Kita semua ada tanggungjawab untuk membaca al-Quran. Belum terlambat untuk belajar. Allah tak pandang siapa kita sebelum ini, tapi siapa kita sekarang dan seterusnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 4:56 PM
    Digital NSTP Subscribe