NOORKHIRIAH
NOORKHIRIAH
Norhayati Nordin


PELAKON Noorkhiriah berterima kasih kepada pengikutnya di Instagram yang menegur mengenai bahaya wabak Covid-19.

Noorkhiriah, 44, berkata, dia sedar khilaf diri yang kurang faham mengenai cara penularan wabak itu pada mulanya.

Pada 16 Mac lalu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan, Noorkhiriah memuat naik hantaran di Instagram mengajak masyarakat menyertai majlis ilmu dan tindakannya itu dikecam hebat netizen.

Kebanyakannya menasihatkan Noorkhiriah mengenai bahaya Covid-19 dan melupakan hasrat untuk menghadiri majlis ilmu yang menghimpunkan ramai orang itu.

“Apa yang berlaku di antara saya dengan segelintir pengikut ketika itu silapnya daripada saya juga. Memang pada mula saya kurang pemahaman berkaitan wabak Covid-19. Alhamdulillah sekarang saya makin faham dan jelas dengan bahayanya. Terima kasih di atas ingatan kesedaran diberikan dan saya mohon maaf juga pada anda semua," katanya.

Menurut Noorkhiriah, melihat kepada situasi penularan wabak berkenaan ketika ini, dia mengakui sangat bimbang dengan apa yang berlaku.

Katanya, teruskan duduk di rumah sepanjang tempoh PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu dan kini dilanjutkan sehingga 14 April.

Menurutnya, banyakkan berdoa semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya dan memberi kesembuhan supaya dapat kembali dengan kehidupan yang lebih baik selepas ini.

Noorkhiriah berkata, apa saja saranan daripada kerajaan harus dilihat secara positif demi kesihatan dan keselamatan kita semua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 5:16 PM
Digital NSTP Subscribe