DATUK Aznil Nawawi. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
DATUK Aznil Nawawi. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Norhayati Nordin


PENGACARA terkenal, Datuk Aznil Nawawi tidak akan tunduk dengan kata-kata negatif daripada netizen yang mendakwa beliau cuba menagih perhatian menerusi paparan kisah berkaitan Covid-19.

Aznil berkata, apa yang dikongsikan melalui perbualan rakaman panggilan video di Instagram TV (IGTV) bagi memupuk kesedaran kepada masyarakat.

"Walaupun ada yang menuduh saya cari perhatian menerusi cerita-cerita dipaparkan, sesungguhnya niat sebenar adalah untuk memberi kesedaran kepada mereka yang masih ambil ringan mengenai bahaya wabak Covid-19.

"Saya takkan tunduk pada kata-kata negatif itu," tulisnya dengan berkongsi rakaman panggilan video bersama jururawat dikenali Nurul, salah seorang barisan hadapan yang kini bertugas di sebuah hospital di Negeri Sembilan.

Dalam video berdurasi 11 minit dan 38 saat itu, Nurul yang juga ibu tunggal berkongsi pengalamannya yang perlu bertugas menjadi barisan hadapan dalam perjuangan getir ini.

Menurut Nurul, sejak penularan wabak Covid-19 di negara ini, semua kakitangan bidang perubatan sebagai barisan hadapan perlu bekerja lebih masa, malah ada yang bekerja hingga 18 jam sehari dan tidak pulang ke rumah.

Semua doktor dan jururawat terbabit mengendalikan kes Covid-19 juga diwajib mengenakan pakaian perlindungan (PPE) disediakan yang sememangnya tidak selesa.

Menurut Nurul, PPE yang dipakai untuk melindungi diri itu agak panas tetapi mereka memakainya hingga berbelas jam bagi tujuan keselamatan dan melindungi diri daripada bahaya wabak.

“Kepada mereka yang ambil mudah wabak ini (Covid-19), saya cabar cuba pakai PPE itu. Tak payah lama, pakai dua jam saja dan akan rasa panasnya," katanya yang turut mengalirkan air mata.

Mengharapkan dugaan besar dan hebat ini akan berakhir, Nurul berkata, dia perlu kuat dan ikhlaskan hati bekerja kerana tak sabar untuk bertemu dengan dua anak lelakinya yang cukup dirindui.

Rakaman itu sudah ditonton lebih 279,000 kali dengan lebih 1,800 komen yang rata-ratanya memberi kata semangat serta menyokong perkongsian dibuat Aznil.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 7:41 PM
    Digital NSTP Subscribe