Syafil Syazwan Jefri


MALAYSIAN Society of Cinematographer (MySC) memohon kerajaan membantu pekerja-pekerja filem yang kehilangan pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu berikutan penularan wabak Covid-19.

Timbalan Presidennya, Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin berkata, mereka mengusulkan beberapa cadangan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi mengurangkan bebanan pekerja filem sekali gus membantu mereka yang memerlukan bantuan.

“Ada beberapa cadangan daripada MySC untuk KKMM bagi merencanakan pelan rangsangan ini secepat mungkin. Antaranya ialah Dana Kandungan Digital atau DKD. Saya sendiri berada di dalam DKD ini sebagai penyelia untuk beberapa filem.

“Seperti yang semua sedia maklum, tujuannya adalah untuk menjana pekerjaan kepada pekerja filem. Dalam krisis yang sedang berlaku, bolehlah dipertimbangkan dana ini untuk sebahagian daripadanya diagihkan kepada pekerja filem,” katanya yang juga pengarah filem.

Cadangan kedua adalah supaya pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) memajak filem daripada penerbit-penerbit tempatan.

“Hasil daripada pajakan itu, dapatlah penerbit agihkan kepada pekerja-pekerja yang terbabit dalam filem itu. Walaupun sedikit, tapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu mereka,” katanya.

Selain itu, MySC juga mencadangkan supaya kerajaan negeri berbincang untuk mengagihkan cukai hiburan.

“Cukai hiburan yang diambil melalui kerajaan negeri adalah 25 peratus. Kalaulah ia dapat dibincangkan dan diagih kepada pekerja-pekerja filem, ia dapat juga meringankan beban mereka dalam tempoh tidak bekerja ini.

“PKP ini juga dilanjutkan dan mungkin kesannya akan membawa sehingga ke dua atau tiga bulan akan datang,” katanya.

Raja Mukhriz juga meminta pihak KKMM untuk berurusan dengan Padu Citra selaku persatuan yang diiktiraf oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk mengetahui lebih lanjut mengenai data-data pekerja filem ini.

“Untuk mendapatkan data, terus sahaja berhubung dengan Padu Citra kerana mereka ada banyak data mengenai pekerja filem dan pendapatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Mukhriz turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang sentiasa menjaga kebajikan pekerja filem.

“Terima kasih kepada Datuk Saifuddin Abdullah dan KKMM yang menjaga kami selama ini. Harapnya, usul ini dapat dipertimbangkan pihak KKMM dan direncanakan secepat mungkin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 2:15 PM
    Digital NSTP Subscribe