DAYANGKU Intan tetap dengan pendiriannya.
DAYANGKU Intan tetap dengan pendiriannya.
Sudirman Mohd Tahir


“TAK mengapa mereka buat laporan polis. Itu tanggungjawab mereka. Apa pun, saya tetap dengan pendirian yang mana apa dibuat (memuat naik video) tak salah,” kata penyanyi popular era 80-an, Dayangku Intan susulan laporan polis dibuat terhadapnya oleh pihak Hospital Putrajaya, kelmarin.

Penyanyi yang popular dengan lagu Berpaut Di Dahan Cinta itu didakwa menghina kakitangan hospital itu dalam mengendalikan wabak Covid-19 menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook.

Dayangku Intan, 54, atau nama sebenarnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid berkata, dia berharap pihak pengurusan hospital menghubunginya sebelum membuat laporan polis.

“Dari awal saya berharap perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik. Sepatutnya, perkara ini tidak boleh dipandang daripada sebelah pihak saja. Kena tengok video saya sepenuhnya.

“Selepas saya memuat naik video itu, tidak ada sesiapa atau wakil hospital menghubungi saya untuk berbincang. Kalau ada, saya sedia memberi kerjasama.

“Tidak mengapa jika itu pilihan mereka dengan membuat laporan polis. Malah, saya tahu mengenai laporan yang dibuat terhadap saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Dayangku Intan, dia akan ke balai polis berdekatan tempat tinggalnya esok.

Namun, enggan mendedahkan tujuannya ke situ.

“Selepas mengetahui laporan yang dibuat, saya menghubungi balai polis itu untuk bercakap dengan Pegawai Penyiasat tapi gagal. Saya cuma dapat bercakap dengan anggota bertugas di situ.

“Memandangkan esok hari terakhir saya menjalani kuarantin, saya akan ke balai polis berdekatan rumah. Saya tak boleh nak cakap sekarang apa nak dibuat. Kena tunggu esok,” katanya.

Dayangku Intan juga menegaskan, teguran dibuat menerusi video itu bukan kepentingan diri sendiri sebaliknya untuk semua.

“Teguran saya adalah kelebihan untuk semua. Bukan untuk saya seorang saja. Kalau nak tahu, sewaktu saya di sana tidak ada orang di situ. Kaunter Covid-19 kosong.

“Saya pula tidak berani nak terus masuk ke bahagian kecemasan sebab takut saya ada wabak itu. Apatah lagi, ketika itu saya ada simptom batuk dan demam.

“Malah, sampai sekarang tekak dan dada saya masih kering. Batuk pula kejap ada, kejap tidak. Cuma, saya sudah tidak demam,” katanya.

Terdahulu, pada Selasa lalu, Hospital Putrajaya membuat laporan polis berhubung penularan dua video yang menjejaskan imej hospital itu dan kredibiliti kakitangan serta pegawai perubatan dalam mengendalikan Covid-19.

Dalam kenyataan itu, Pengarah Hospital Putrajaya Datuk Dr Nora’i Mohd Said berkata, video pertama dipercayai milik seorang selebriti yang mempunyai impak tontonan tinggi.

Video kedua pula adalah dari saluran YouTube, milik seorang lagi selebriti yang memperkatakan dan menyokong isu dibicarakan oleh pemilik selebriti pertama.

Difahamkan video pertama milik penyanyi, Dayangku Intan dan kedua daripada Azwan Ali.

Sementara itu, Azwan sudah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di saluran YouTube semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 10:09 PM
Digital NSTP Subscribe