MAMAT bersama pemuzik yang menganggotai PPWD.
MAMAT bersama pemuzik yang menganggotai PPWD.
Ridzuan Abdul Rahman


TIDAK lengkap bercakap mengenai muzik rock di negara ini tanpa mengaitkannya dengan Kompleks Wilayah, Kuala Lumpur.

Pusat beli-belah terletak di Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur ini dahulunya menjadi ‘port’ artis rock pada era 1980-an untuk ‘jamming’ kerana terdapat banyak studio di situ.

Walaupun era itu sudah berlalu, bekas pengusaha studio di situ serta pemuzik yang mempunyai pengalaman istimewa dengan Kompleks Wilayah kekal berhubungan menerusi persatuan dinamakan Persatuan Pemuzik Wilayah Dorai (PPWD).

Pelbagai aktiviti sudah digerakkan PPWD dan terbaharu mereka menganjurkan program Jom Layan Wayang Rock 4: Rockers Never Dai anjuran di TGV Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengerusinya, Kaswan Arsat berkata, ini program kedua mereka untuk siri Jom Layan Wayang selepas Jom Layan Wayang Rock Oo! pada 2016 di lokasi sama.

“Tayangan ini hanya dibuka kepada seluruh ahli PPWD yang kebanyakan mereka adalah pemuzik yang bermula di Kompleks Wilayah suatu ketika dulu.

“Kesungguhan mereka menyaksikan ada yang berjaya menjadi penyanyi, pelakon dan pelawak. PPWD tidak mempunyai perangkaan ahli yang berdaftar, tapi setakat ini dianggotai lebih 100 pemuzik. Kami akan menyediakan satu ‘database’ pendaftaran ahli tanpa bayaran sebagai usaha menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Dalam masa sama, dia juga bersyukur kerana sempat menganjurkan majlis itu sebelum penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Kaswan yang juga bekas penyanyi kumpulan Etika berkata, PPWD yang akan bergabung dalam persatuan Muzika Malaysia yang bakal ditubuhkan selepas ini berusaha mencari dana bagi membantu pemuzik yang kurang bernasib baik.

“Bukan bersandarkan kutipan sumbangan. Jika ada pun, ia tidak difokuskan sangat kerana kami akan mencari dana menerusi perniagaan atau cara lain.

“Buat masa ini kami juga mempunyai penaung iaitu seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Triple X dan dia individu yang banyak membantu aktiviti yang dianjurkan.

“Dia juga membantu kami cara bagaimana mengendalikan perniagaan di mana pendapatan ini nanti akan digunakan bagi menyalurkan bantuan ke tabung dana PPWD. Saya diberi sebuah studio dinamakan W3 Studio di Selayang untuk diuruskan,” katanya.

Menurut Wan, PPWD akan membuka perniagaan bertempat di Puchong dan ahli-ahlinya perlu merebut peluang yang ditawarkan nanti.

Sementara itu, Wan berkata, antara pemuzik yang pernah mempunyai pengalaman di Kompleks Wilayah antaranya pemain gitar, Joe Primed, Black Wings, Zamani Slam, Acong Sweetchild, XPDC, Ukays, Samudera, Analisa, Black Rose, Meditasi, UG14 dan OAG.

“Nostalgia di sini sukar dilupakan. Justeru tayangan yang dibuat tidak mengenakan bayaran kepada ahli PPWD, tapi lebih kepada menyokong usaha Mamat Khalid menghasilkan filem siri rock.

“Dia tampilkan perjalanan seorang rockers dan memang kisah kami. Apa yang dipaparkan adalah realiti yang dilalui pada era itu,” katanya.

Mamat pula berkata, dia teruja apabila PPWD mahu menganjurkan program Jom Layan Wayang untuk filemnya.

“Tahun 1983 saya sudah mula berkunjung ke Kompleks Wilayah dan pemuzik ini hanya bermula pada 1988. Rupanya saya lagi tua daripada mereka.

“Di bahagian bawah pusat beli-belah itu tempat saya membeli t-shirt rock antaranya kumpulan Iron Maiden. Saya sangat berbesar hati apabila mereka dapat kumpulkan rockers untuk kembali menggamit memori menerusi tayangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 6:46 AM
Digital NSTP Subscribe