AWEERA
AWEERA
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Aweera menempelak sikap netizen yang mempertikaikan tindakan segelintir artis yang memohon bantuan kerajaan selepas sumber pendapatan terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Aweera berkata, tindakan membandingkan kedudukan dan kewangan artis tempatan dengan luar negara adalah tidak wajar.

“Orang kita juga yang kayakan artis luar. Jangan tanya kenapa artis kita tidak sekaya artis luar sebab orang kita sendiri tidak beri sokongan. Jangan bodoh sangat otak tu nak bezakan dengan artis antarabangsa.

“Kalau tidak, sudah lama artis kita sama kaya dengan kumpulan Metallica atau Scorpions. Tidak perlu bandingkan dengan Kpop lah. Artis luar ini jual lagu seluruh dunia paling pekak pun ambil tahu berapa ramai penduduk negara mereka.

“Pihak tertentu dalam industri muzik juga harus pandang perkara ini sebab apabila ada keadaan yang sukar sebegini, bayangkan berapa ramai artis yang bekerja keras untuk industri muzik Malaysia sekarang berada dalam keadaan sukar,” katanya.

Menurut Aweera, sudah sampai waktu pihak bertanggungjawab dan peminat berlaku adil dengan penggiat seni tempatan.

”Berlaku adil dan saksama. Jangan terlalu memandang ‘views’, rating dan sebagainya. Sekarang ‘views’ berpuluh juta dan sebagainya. Dahulu tidak ada YouTube dan dan tak perlu menipu atau ditipu dengan nombor ini sehingga zero kualiti, tapi tidak semua.

“Sehingga terlalu ramai tidak boleh cari makan apabila keadaan seperti sekarang ini muncul. Sekarang sendiri boleh rasa betapa sukarnya apabila tidak ada pendapatan dan pekerjaan dihentikan.

“Sekarang semua rasa sedikit apa yang mereka rasa berpuluh tahun lalu. Bayangkan pada artis yang tidak dipedulikan sebelum ini terutama yang berkualiti. Saat sekarang ini bagaimanakah mereka? Bagi yang ada duit dan kaya bolehlah sembang. Maafkan saya bercakap perkara ini,” katanya.

Terdahulu, penyanyi, Black Hanifah dalam satu kenyataan berkata, PKP yang dilaksanakan turut menjejaskan ‘periuk nasi’ penggiat seni tempatan.

Disebabkan itu, Black berharap kerajaan tidak meminggirkan kumpulan penggiat seni dengan memberi bantuan khusus.

Bagaimanapun, kenyataan Black itu dipertikaikan warganet selain membandingkan dengan cara artis Kpop yang menderma bagi membantu mangsa Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 12:39 PM