Achey Bochey.
Achey Bochey.
Sudirman Mohd Tahir


“SEKARANG bukan masa nak pertikai siapa patut dapat bantuan atau tidak,” kata pelawak, Achey mengenai tindakan netizen yang mempertikaikan kenyataan dibuat sahabatnya, penyanyi, Black dan Tomok berkenaan bantuan kerajaan kepada penggiat seni.

Achey menyifatkan kenyataan itu sudah disalah erti kerana Black dan Tomok memaksudkan keseluruhan penggiat seni termasuk mereka yang bekerja di belakang tabir.

Malah, Achey berkata, Black dan Tomok hanya mewakili golongan terbabit termasuk artis veteran yang terjejas teruk dari segi pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Ramai salahkan Black dan Tomok. Saya menghubungi Black, dia kata bantuan dimaksudkan bukan untuk dirinya. Sebaliknya, mewakili penggiat seni yang senior dan di belakang tabir yang lebih memerlukan bantuan itu.

“Kami ini kalau tidak ada ‘job’, jurukamera, prop, jurusolek dan yang lain pun tidak ada kerja juga. Macam kami orang cakap ada duit, itu saya tolak tepi, kami akan cuba usaha juga walaupun tanggungan tidak seperti apa yang anda katakan.

“Namun, apabila fikir mengenai artis veteran yang tak mampu dan pekerja belakang tabir yang perlukan sokongan dan bantuan daripada kerajaan, itu yang mereka suarakan. Cuba kalau orang belakang tabir itu bercakap sebagai contoh budak prop, anda semua kenal ka?” katanya.

Achey berkata, dia tidak berasa Black dan Tomok memerlukan bantuan itu seperi yang didakwa dan ditularkan warganet.

“Jadi, apabila Black dan Tomok bersuara, ia mewakili semua. Saya berasa mereka pun tak harapankan bantuan itu, cuma hanya menyuarakan. Itu saja.

“Soal artis atau tak dapat bantuan, Perdana Menteri sudah cakap tiada siapa terkecuali, Selagi ada kad pengenalan dan warganegara Malaysia, tetap dapat.

”Insya Allah, bagi kami penggiat seni, mana yang termampu kami bantu. Mana yang boleh tolong, kami tolong. Ada juga dua, tiga tempat kami bantu. Tapi, takkan semua benda nak cerita. Jadi, terus doakan yang baik-baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 11:43 PM