SITI Elizad menyediakan 100 bungusan makanan untuk diagihkan kepada anggota polis dan tentera di sekitar Bukit Jalil dan Kuala Lumpur.
SITI Elizad menyediakan 100 bungusan makanan untuk diagihkan kepada anggota polis dan tentera di sekitar Bukit Jalil dan Kuala Lumpur.


PELAKON Siti Elizad menyediakan 100 bungusan makanan untuk diagihkan kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di beberapa lokasi sekatan jalan raya sekitar Bukit Jalil dan Kuala Lumpur.

Elizad berkata, inisiatif itu bagi menghargai sumbangan anggota bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Sebelum ini kalau pergi kerja mesti bertembung dengan sekatan jalan raya, tapi sejak bekerja dari rumah minggu ini depan rumah saya pula kerap ada sekatan.

"Melihat keadaan mereka yang sanggup bertugas dalam keadaan panas dan hujan lebat, saya terfikir untuk menyediakan makanan untuk mereka sebab saya pun suka memasak. Semua saya masak sendiri.

”Alhamdulillah, semalam saya sediakan nasi hujan panas buat mereka dan hari ini saya masak sup kambing serta lempeng kelapa," katanya.

Menurut Elizad, dia sedang dalam perancangan untuk menghantar makanan kepada jururawat dan petugas barisan hadapan lain pula.

"Saya ada menerima mesej peribadi daripada jururawat yang ingin saya menghantar makanan kepada mereka.

"Tapi saya tak tahu prosedur yang betul. Takut nak memandai-memandai hantar kepada mereka. Lagipun sekarang ini saya perlu hadkan pergerakan.

"Namun jika ada peluang saya memang nak hantar makanan kepada mereka. Mungkin dengan cara ini saya dapat gembirakan hati mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 5:46 PM