MAMAT Khalid. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
MAMAT Khalid. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Georgie Joseph


PENGARAH Mamat Khalid menempelak tindakan segelintir artis yang suka berkongsi gaya hidup mewah serta barangan berjenama di laman sosial selama ini sehingga jadi pertikaian warganet sewaktu krisis Covid-19.

Mamat berkata, tindakan sebegitu hanya akan memakan diri apa lagi pada era ini di mana orang ramai memberi perhatian terhadap perkongsian mereka dan bukan semua menyenanginya.

“Yang awak pun satu tayang semuanya di media sosial dengan ungkapan bukan riak sekadar berkongsi. Kongsi apa? Boleh mereka pinjam kereta yang hadiah pada emak itukah? Buat amal pun digalakkan berahsia, inikan pula kerja-kerja membeli kasut atau barangan mewah.

“Sekarang kita sudah sedar, kita yang hendak orang perhatikan gaya hidup kita dan bukan semuanya menerima gaya awak itu. Malah menimbulkan lagi rasa gusar yang terpendam. Sekali peluang terbit, terbenamlah awak dengan hakikat rasa resah hati mereka yang berbisa,” tulisnya di Instagram.

Nasihat itu diungkapkan Mamat selepas kebelakangan ini kecoh apabila beberapa artis popular mengusulkan mengenai bantuan khas kepada penggiat seni terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati warganet.

Dalam pada itu, pengarah terbabit bagaimanapun turut bersimpati kepada beberapa artis yang menjadi mangsa kecaman dan berharap mereka ambil pelajaran daripadanya.

“Kasihan abang tengok adik-adik kena kecam bagai nak kiamat sebab menyuarakan tolong bantu pada yang tidak upaya melawan kekangan waktu-waktu darurat sekarang. Niat baik disalah ertikan. Hanya kerana tidak mahu membaca penuh sesuatu artikel.

“Kehidupan awak yang diriuhkan pula! Apa yang dipelajari adalah betapa pendamnya kesumat manusia menyimpan hasad menebal dengan kejayaan awak.

“Komen mereka memang membuat kita sedar siapa diri mereka sebenarnya. Awak memang bukan siapa-siapa dalam kehidupan mereka. Tidak kenal, tidak lawak, suara sumbang, dan sampai ada yang mengaku tidak pernah tengok rancangan awak sebab lebih peka pada siaran obersi (luar negara),” kongsinya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 12:17 PM