X
LEBIH pentingkan kesihatan, keselamatan diri daripada gusar pendapatan terjejas dalam tempoh PKP
LEBIH pentingkan kesihatan, keselamatan diri daripada gusar pendapatan terjejas dalam tempoh PKP
Norhayati Nordin


DI kala segelintir penggiat seni tanah air gusar kerana pendapatan terjejas berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dilanjutkan lagi, pelakon Noorkhiriah pula positif.

Noorkhiriah, 44, yang pernah dikecam sebelum ini berkata pada masa sekarang dia selesa memantau dan akur dengan pengumuman dibuat pihak pemerintah.

Ujarnya, dalam situasi penularan wabak Covid-19 yang belum nampak penghujungnya, lebih baik dengar dan ikut apa disarankan kerajaan.

“Dalam keadaan sekarang, bagi saya tahap kesihatan dan keselamatan diri lebih penting memandangkan ada keluarga serta anak pun masih kecil.

“Apatah lagi, pemberi rezeki adalah Allah. Oleh itu, buat masa sekarang haruslah banyakkan berdoa semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya buat kita semua.

“Bahkan, semoga Allah memberi kesembuhan dengan segera supaya kita dapat kembali dengan kehidupan yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Berbicara mengenai aktiviti lakonannya, nama Noorkhiriah kembali menjadi perhatian selepas membintangi drama Nur dan Nur 2 di TV3 dengan watak Aishah.

Bergabung dengan Azhan Rani dalam drama itu untuk watak antagonis sebagai ‘penunggang agama’, kedua-dua figura ini berjaya menarik perhatian.

“Untuk kerjaya lakonan, Alhamdulillah masih lagi dapat tawaran. Cuma, memandangkan sekarang tempoh PKP semuanya ditangguh lagi.

“Saya akan tunggu tarikh baru untuk penggambaran. Tetapi, untuk Ramadan pula memang semua aktiviti lakonan saya hentikan seketika.

“Lagi pun, saya sudah terbiasa tak berlakon sepanjang bulan puasa kerana memberi tumpuan pada pengurusan keluarga dan beribadat,” katanya.

Sehubungan itu, Noorkhiriah berkata dia mengharapkan semua rakyat di negara ini bersabar dalam berhadapan dugaan besar berkaitan krisis Covid-19 ini.

Ujarnya, dia juga berterima kasih dengan kerajaan yang begitu berusaha membantu rakyat menerusi pengumuman rangsangan ekonomi dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 6:30 AM