ANZALNA bersama suami dan anaknya. FOTO Instagram
ANZALNA bersama suami dan anaknya. FOTO Instagram
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON, Anzalna Nasir mengambil inisiatif dengan menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan susu dan lampin pakai buang.

Anzalna, 32, atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir berkata, dia menerima banyak mesej peribadi (DM) di Instagram yang meminta sumbangan dan bantuan.

“Sebenarnya, sejak saya buat kerja amal dengan membantu keluarga yang ada bayi, sejak itu ramai datang kepada saya minta tolong dari segi kewangan dan keperluan bayi.

“Jadi, terdetik nak buat pada masa sekarang ini sebab saya sendiri ada anak kecil. Jadi sangat memahami kalau ada keluarga terdesak yang tidak dapat beli susu anak dan lampin pakai buang.

“Setiap hari ada mesej saya minta duit. Dalam keadaan sekarang, saya berasakan apa boleh tolong adalah beri sumbangan untuk mereka beli lampin pakai buang dan susu.

”Cara bagi, saya akan buat pindahan wang. Semalam, saya sudah dapat beberapa keluarga untuk diberikan sumbangan dan mereka beli,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Anzalna berkata dia perlu berlaku adil dengan memberikan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.

”Saya kena pilih, tak boleh main beri saja. Saya kena tengok keadaan keluarga itu juga sama ada benar-benar memerlukan.

”Diakui ramai yang DM sampai tak boleh tengok satu-satu. Saya tahu, sekarang ini terlalu ramai dalam kesempitan.

”Walaupun kerajaan sudah membantu, tapi ini bantuan kecil saya juga. Saya bukan kaya-raya nak tolong banyak. Apa termampu sekarang, saya berikan sumbangan beli susu dan lampin pakai buang sebab ia penting bagi mereka yang ada anak kecil,” katanya.

#loc Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 12:23 PM