ALIFF SYUKRI. FOTO IHSAN IG ALIFF SYUKRI
ALIFF SYUKRI. FOTO IHSAN IG ALIFF SYUKRI
Sudirman Mohd Tahir


PERGOLAKAN rumah tangga usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Aliff Syukri dan isteri, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid kembali diperkatakan berikutan tersebarnya surat tuntutan cerai Nur Shahida di laman sosial sejak hari ini.

Bagaimanapun, Aliff ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp hanya membalas dengan emoji sedih sekali gus membuatkan perkara itu terus menjadi persoalan.

Menguatkan lagi dakwaan itu apabila Aliff memuat naik status bernada kecewa dan sedih.

“Dalam kehidupan ini ada dua pilihan iaitu memilih atau dipilih. Jadi, kita kena tahu dan sedar. Jika kamu yang memilih pilihlah yang terbaik buat kamu dan selamanya. Jika kamu dipilih, maka jadilah yang terbaik buatnya,” katanya.

Namun, menurut sumber terdekat usahawan itu, kes perbicaraan perceraian mereka bakal didengar semula selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, Aliff dikatakan terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan permohonan perceraian.

Dalam masa sama, Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik mahkamah gagal menemui penyelesaian.

“Sudah tiga kali JPK dibuat, tapi gagal,” kata sumber itu.

Difahamkan, ketika ini pasangan itu sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu.

Aliff dilihat berulang alik ke rumahnya yang terletak di Pavilion resident Kuala Lumpur berdasarkan video dimuat naik di Instagram.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Nur Shahida enggan mengulas mengenai perkara itu.

“Bab rumah tangga saya tak nak komen. Minta maaf ya,” katanya ringkas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 10:56 PM