USAHAWAN kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri menafikan dakwaan dia sudah melafazkan cerai terhadap isterinya Datin Seri Nur Shahida.

Pertanyaan yang diajukan netizen dalam ruangan soal jawab di Instagram Story menarik perhatian Aliff, namun dia berharap tiada pihak cuba menabur fitnah ketika ini.

“Tolong jangan menabur fitnah. Saya tidak pernah berbuat demikian (lafaz  cerai). Namun, saya akan ikut segala peraturan yang sudah termaktub seperti apa yang difailkan,” katanya.

Dalam video itu juga, Aliff turut menjawab pertanyaan pengikutnya yang mengatakan dirinya semakin matang menghadapi netizen. 

“Bukan semakin matang tapi sampai satu tahap saya dah lali dengan hinaan masyarakat. Saya nak bahagia saja dan tidak mahu berperangai gila-gila lagi,” katanya.

Rabu lalu, Harian Metro melaporkan mengenai penyebaran surat tuntutan cerai yang difailkan Shahidah, sekaligus menguatkan lagi desas desus mengenai berita penceraian jutawan kosmetik itu.

Difahamkan, Aliff dan Shahida sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu.

Aliff dilihat berulang alik ke rumahnya yang terletak di Pavilion Resident Kuala Lumpur berdasarkan video dimuat naik di Instagram.  

Menerusi perkahwinan Aliff dan Shahida, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata.

Datuk Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida. FOTO ihsan instagram Aliff Syukri
Datuk Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida. FOTO ihsan instagram Aliff Syukri

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 3:57 PM