X
ABU (kiri) dan Hana sudah berpisah.
ABU (kiri) dan Hana sudah berpisah.

 

TEKA-teki krisis rumah tangga bekas peserta program Pencetus Ummah (PU), Abu Sufyan dengan Hana Azraa akhirnya terungkai apabila Hana tampil mendedahkan mereka sudah berpisah.

Hana menerusi Instagram miliknya tampil membuat penjelasan dan menjawab segala spekulasi mengenai status hubungannya dengan Abu. 

“Di sini, saya perjelaskan untuk semua supaya tiada lagi tanda tanya dan sebarang spekulasi serta manipulasi daripada mana-mana pihak.

"Pertama sekali, benar saya dan Abu Sufyan sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan. Kami tidak lagi tinggal sebumbung dan kami bukan lagi suami isteri.

“Andai keluar dari mulut dia bahawa kami masih suami isteri, saya tak tahu kenapa kerana apa yang pasti dia tahu apa yang berlaku dan setiap perkataan yang diucap keluar daripada mulutnya," katanya.

Menurut Hana atau nama sebenarnya Nurhannah Azra Mohd Zakir, dia juga memohon supaya segala isu berkaitan Abu ditanyakan terus kepada empunya badan termasuk  hubungan bekas suaminya itu dengan mana-mana wanita lain.

"Berhenti bertanyakan kepada saya soal hubungan Abu dengan mana-mana wanita. Sama ada wanita itu berstatus isteri beliau ataupun tidak, sila bertanyakan terus kepada tuan empunya badan," katanya.

Dalam masa sama, Hana enggan membuka mulut mengenai punca utama perceraian mereka sebaliknya menganggap apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya.

“Kenapa, mengapa, bila, bagaimana mengenai berakhirnya urusan rumah tangga kami, saya tidak akan bercerita. Cukup semua tahu dan harapnya sesetengah pihak berhenti membuat provokasi di mesej peribadi.

“Apapun yang terjadi, semoga ada hikmah yang terbaik untuk kita semua. Insya-Allah, saya yakin ada hikmah buat saya dan anak-anak terutamanya,” katanya.

Hana dan Abu mendirikan rumah tangga pada Mei tahun lalu dan dikurniakan cahaya mata bernama Muhammad Uwais Al-Mateen pada 1 Februari.

Sebelum itu, Abu pernah mendirikan rumah tangga bersama Ain 'Afini namun hubungan mereka terlerai pada 16 Mei 2019 apabila diceraikan dengan talak dua. 

Hana juga pernah mendirikan rumah tangga sebelum perkahwinan bersama Abu. Menerusi perkahwinan pertamanya itu, dia dikurniakan seorang anak perempuan, Afifah Aisyah yang kini berusia empat tahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 5:39 PM