Zainuddin
Zainuddin
Ridzuan Abdul Rahman


Sepatutnya filem genre seram Town Mall lakonan dan arahan Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Jalaluddin Hassan, Adam Shahz, Reen Rahim dan Intan Ladyana yang juga filem pertama terbitan Enuja Production Sdn Bhd sudah ditayangkan pada 26 Mac lalu.

Bagaimanapun, penularan wabak Covid-19 yang turut menyaksikan pusat beli-belah dan panggung wayang ditutup membuatkan penerbit, Zainuddin Mohd Ismail menarik balik tayangan dan ditukarkan ke satu tarikh lain.

Zainuddin berkata, tindakan ini sudah difikirkan sebelum kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama bermula 18 Mac hingga 31 Mac lalu.

“Memang saya buat pemerhatian sendiri dengan berkunjung ke beberapa pawagam beberapa hari sebelum filem itu ditayangkan.

“Kebetulan pawagam sedang tayangkan filem Bulan & Pria Terhebat dan saya dapati penonton sekitar tiga empat orang saja.

“Malah, ada pawagam yang ditutup kerana orang pun tak nak tengok wayang kerana bimbang dengan jangkitan Covid-19,” katanya.

Zainuddin seterusnya menghantar surat kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi memaklumkan keputusannya itu.

“Walaupun promosi sudah dibuat dan keluar belanja tapi apakan daya kerana kita perlu akur dengan arahan kerajaan. Sebagai penerbit saya memang lebihkan fokus pada promosi filem ini.

“Saya sudah cetak lebih 500 poster promosi. Itu tidak termasuk poster untuk Malam Gala Town Mall yang sepatutnya diadakan pada 19 Mac lalu yang terpaksa dibatalkan juga. Ia perlu dicetak semula apabila ada tarikh tayangan baru,” katanya yang membelanjakan kos sekitar RM1.2 juta untuk pembuatan filem ini.

Katanya, dia juga turut mengedarkan poster filem ini secara pos laju untuk luar kawasan termasuk Sabah dan Sarawak serta sudah membelanjakan RM40,000 untuk promosi.

Zainuddin kini sedang menunggu tarikh baharu tayangan filemnya yang akan ditentukan oleh Finas.

“Sebagai penerbit saya bimbang sekiranya Finas beri tarikh selepas Aidilfitri, Town Mall kena bersaing dengan filem pecah panggung dari luar negara.

“Mereka pun sama juga tarik tayangan di pawagam. Sekiranya filem mereka nak tayang selepas Aidilfitri, diharapkan Finas buat pemantauan perkara ini. Kalau boleh janganlah syaratkan tayang dua filem Melayu serentak dalam satu minggu kerana peminat pasti berkira-kira nak pilih filem mana yang perlu ditonton,” katanya.

Enuja Production sepatutnya akan memulakan penggambaran telefilem berjudul Nak Balik Raya 2020 arahan Eizlan Yusof untuk TV3.

“Sepatutnya penggambaran sudah bermula awal April. Namun kami kena akur dengan arahan kerajaan. Saya reda dan berdoa kepada Allah agar wabak Covid-19 dapat dihapuskan secepat mungkin dan keadaan kembali pulih seperti biasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 6:30 AM