UCHOP. FOTO Ihsan Uchop
UCHOP. FOTO Ihsan Uchop
Ridzuan Abdul Rahman


TERPERANGKAP di Kuala Selangor semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani pandemik Covid-19, memberikan kerjaya baru buat penyanyi, Uchop Ahmad.

Bekas juara program Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua itu mengambil inisiatif mencari pendapatan dengan menjual ikan segar kepada pelanggan yang memerlukan.

Uchop ketika dihubungi berkata, dia mengambil ikan segar di jeti Pasir Penambang, Kuala Selangor dan menghantarnya secara 'cash in delivery (cod) kepada pelanggan di ibu kota.

"Saya bersama seorang rakan akan ambil ikan di jeti seawal jam 3 pagi dan kemudian membawanya untuk dijual di Kuala Lumpur.

"Ikan ini saya ambil dengan harga tertentu dan dijual dengan harga yang dapat memberikan sedikit keuntungan selepas ditolak kos minyak kereta dan tol.

"Alhamdulillah, usaha ini dapat sokongan yang baik daripada pembeli. Malah golongan artis antaranya Datuk Hattan juga pernah menggunakan khidmat saya untuk kerja amalnya. Dia tempah ikan segar untuk diberikan kepada rakan artis yang kurang bernasib baik," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Uchop, idea bagi menjual ikan dicetuskan daripada rakannya selepas mereka buntu berada di Kuala Selangor tanpa sebarang aktiviti.

"Cerita sebenarnya, saya aktif menyertai sukan motosikal lasak bersama team Bencho's Motorsports dan ketika itu berada di markas mereka di Kuala Selangor.

"Pasukan kami ada 15 orang tak boleh pergi mana-mana apabila PKP dilaksanakan dan saya mati kutu dibuatnya.

"Seorang kawan dalam pasukan ini, Naim berikan cadangan buat bisnes ini. Apabila difikirkan, ia idea yang bagus," katanya.

Memandangkan Ucop mempunyai ramai kenalan, dia mula membuat promosi dan hebahan menerusi kumpulan WhatsApp.

"Alhamdulillah, usaha ini dapat sokongan yang baik daripada pembeli. Tidak menjangka ramai yang berminat dan sejak 31 Mac lalu saya mula buat kerja ini.

"Dalam sehari saya bergerak ke tujuh lokasi seperti Shah Alam, Sunway, Subang, Ampang, Selayang dan Setiawangsa.

"Seluruh ahli pasukan Bencho's Motorsports terbabit dalam kerja ini tapi kami hanya ambil tempahan dan bukan jual secara terbuka. Kami ikut prosedur yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Dalam masa sama, Uchop juga mahu masyarakat melihat usahanya ini bukan dibuat kerana

Covid-19 atau terdesak untuk mencari pendapatan.

"Saya nak tukar persepsi masyarakat terhadap golongan artis yang dikatakan kaya raya.

"Artis juga kena berusaha seperti orang biasa dan persepsi inilah yang nak diperbetulkan.

"Setakat ini saya sudah tiga kali keluar bawa ikan ke Kuala Lumpur dan seronok dengan apa yang dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan lain Uchop bersama Black Hanifah dan Achey Bocey serta Bencho's Motorsports turut bergabung tenaga melakukan kerja amal untuk masyarakat di Kuala Selangor.

"Kami akan agihkan barangan keperluan dapur kepada 300 penduduk Kampung Permatang, Kuala Selangor.

"Sumbangan terbabit akan dibuat pada Selasa ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 7:45 PM