EBBY Yus
EBBY Yus
Norhayati Nordin


PELAKON komedi popular, Ebby Yus, 56, mengambil pendekatan merujuk kepada persatuan untuk berkongsi masalah dihadapi apabila pendapatannya terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

Ebby berkata, dia yang tidak mempunyai pendapatan tetap sudah menghubungi Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk bertanyakan jenis bantuan yang sesuai.

“Hari kedua selepas kerajaaan mengumumkan perlaksanaan PKP, saya sudah menghubungi Seniman menerusi salah seorang ahli jawatankuasa (AJK) untuk bertanya mengenai bantuan.

“Bagi saya, lebih baik merujuk terus kepada persatuan untuk bertanya tindakan selanjutnya daripada membuat perkongsian di media sosial," katanya.

Mengakui terkesan dengan PKP apabila sembilan projek kerja seninya terpaksa ditunda pada tarikh yang belum pasti, Ebby berkata, dia akur dengan dugaan harus dihadapi kini.

“Kesan daripada penularan wabak Covid-19 dihadapi semua orang di negara ini. Saya percaya ramai tertekan kerana tidak dapat keluar bekerja seperti biasa. Apatah lagi, artis seperti saya yang bergantung pendapatan kepada kerja seni dan keadaan kesihatan pun kurang baik. Namun, saya luahkan segala permasalahan itu kepada persatuan.

“Biarlah persatuan yang bertindak untuk langkah seterusnya dan saya tunggu saja maklum balas mereka. Bagi saya, kerajaan juga sudah mengatur strategi untuk membantu rakyat yang terkesan," katanya.

Ditanya mengenai bantuan, Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, semalam dia ada menerima bantuan barangan keperluan daripada Seniman.

Katanya, dia juga sudah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan dan keputusan masih belum diketahui.

“Saya ikut saja apa yang disaran kerajaan. Diharapkan semoga permohanan bantuan kewangan yang saya buat itu berjaya dan diluluskan.

“Kalau boleh saya tidak mahu meminta-minta. Selagi termampu dan kesihatan mengizinkan saya lebih suka bekerja untuk mencari rezeki sendiri. Cuma, sejak PKP ini saya sebenarnya lebih bimbangkan kakak di kampung. Kakak saya sudah berumur 60 tahun dan orang kelainan upaya (OKU) yang tinggal bersendirian," katanya.

Menurut Ebby, setakat ini dia hanya mampu menghubungi kakaknya dan rindu nak balik ke kampung untuk menziarah seperti selalu harus dipendam seketika.

Ebby yang kini menjadi penyampai radio undangan di Negeri fm sejak Januari lalu juga harus berehat seketika sepanjang tempoh PKP dilaksanakan kerajaan kerana dia berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Seremban dua kali seminggu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:47 PM