Nizam Laksamana
Nizam Laksamana
Ridzuan Abdul Rahman

 

PENYANYI Nizam Laksamana bersyukur apabila dia bersama isteri dan dua anak mereka disahkan negatif Covid-19, hari ini. 

Nizam berkata, dia menerima mesej daripada pihak hospital pada jam 11.52 pagi, hari ini memaklumkan mereka negatif wabak itu. 

“Ikutkan kami berempat sah negatif Covid-19 apabila tiada pihak hospital menghubungi kami semalam. Bagaimanapun saya masih ragu-ragu dan tak tenteram kerana tiada pengesahan rasmi. Syukurlah akhirnya pihak hospital menghantar mesej itu,” katanya.

Dia bersama isteri, Salwati Zulkifli, 45, serta dua anak mereka, Nur Ellis Adeeba, 25, dan Nur Ellisa Adeera, 16, menjalani ujian saringan Covid-19 pada 31 Mac lalu berikutan bapa mentuanya disahkan positif.

Nizam yang sebelum ini melakukan solat hajat memohon dijauhkan sebarang kejadian buruk berkata, mereka bersyukur serta berpelukan sesama sendiri apabila mendengar berita gembira ini.

“Perasaan kami sekarang sukar digambarkan. Bayangkan Covid-19 adalah penyakit yang sudah meragut ribuan nyawa di seluruh dunia ketika ini. Jika ada rezeki ingin rasanya saya berkongsi makanan dengan doktor, jururawat serta pekerja barisan hadapan (frontliners) sebagai tanda terima kasih atas pengorban mereka menggadai nyawa demi merawat setiap orang yang datang sebagai pesakit Covid-19," katanya.

Penyanyi lagu Gugurnya Bunga Cinta ini turut menitipkan pesanan kepada masyarakat supaya tidak melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan.

“Fikirlah dahulu akibat yang bakal terjadi. Secara automatik sikap kita

yang degil membuka ruang wabak ini berterusan dan mengakibatkan kesusahan kepada  semua pihak.

“Selain itu, ia juga mengakibatkan anggota-anggota penguatkuasa mendapat rantaian sekiranya individu yang melangggar perintah ini menghidap Covid-19. Letakkan perasaan simpati kita terhadap pihak polis dan tentera yang bertungkus lumus memastikan keselamatan dan kesejahteraan kita," katanya. 

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 9:27 PM