BLACK. FOTO Mahzir Mat Isa
BLACK. FOTO Mahzir Mat Isa
Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI Black Hanifah menyeru supaya semua ibu bapa supaya bersabar melayan kerenah anak-anak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung ketika ini.

Black, 33, berkata, walaupun dia hanya memiliki dua anak, namun sedikit sebanyak kerenah mereka banyak menguji kesabarannya.

"Kalau anak kita ada banyak kerenah sekali pun, jika boleh layan dengan sebaik mungkin dan elakkan daripada memukul mereka.

"Saya yang ada dua anak ini pun kadang-kadang tergugat juga kesabaran, tapi saya faham kerana mereka pun tak dapat nak keluar rumah dan banyak perkara yang terpaksa mereka adaptasikan di dalam rumah," katanya kepada Harian Metro.

Black juga melahirkan rasa hormat kepada mereka yang memiliki anak ramai dan tinggal dalam satu rumah sepanjang PKP berlangsung.

"Ini baru dua. Bayangkan keluarga yang ada ramai anak, mesti lagi banyak kerenah dan tentunya, mereka perlu lebih banyak bersabar.

"Apabila kita ada dengan anak sepanjang masa, barulah kita nampak kerenah sebenar anak kita. Ini masanya untuk kita kenal perangai anak-anak kita.

"Kita pun sebagai ibu bapa kadang-kadang rasa tertekan juga kerana tak dapat melakukan aktiviti di luar rumah. Tapi, jangan sampai kita lepaskan tekanan kita kepada anak-anak kita pula," katanya.

Black memiliki dua anak iaitu Khaleef Dayyan dan Rindu Dayyana, hasil perkahwinannya dengan isteri, Naquia Yasirah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:17 PM