DATUK Hans Isaac. FOTO Aswadi Alias
DATUK Hans Isaac. FOTO Aswadi Alias
Ridzuan Abdul Rahman


PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil beberapa langkah pro-aktif untuk fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca Covid-19 bagi membantu penggiat seni dan penerbit yang terjejas.

Pengerusinya, Datuk Hans Issac berkata, antara langkah yang diperkenalkan ialah bantuan kewangan kepada penggiat industri bagi keperluan asas.

“Finas dengan kelulusan dan sokongan Menteri Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah sudah menyediakan peruntukan kewangan kepada sejumlah persatuan perfileman bagi bantuan kepada penggiat industri yang terjejas khususnya mereka yang veteran, uzur, kelainan upaya dan daif serta kurang berkemampuan bagi membeli barangan keperluan asas. Ini adalah bantuan ‘one-off’ dan akan ditambahbaik dari semasa ke semasa.

“Kami juga menganjurkan Komunikasi Langsung Bersama Pelanggan Terjejas bagi mengetahui apa masalah yang dihadapi," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, selain itu Finas mengambil maklum arahan kerajaan sempena PKP ini dan sudah menasihatkan semua pemegang lesen di bawah Akta 244 merangkumi penerbit, pengedar dan pemamer untuk menangguhkan terlebih dahulu sebarang aktiviti perfileman demi keselamatan semua pihak dan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini.

“Finas sudah mengadakan beberapa perbincangan atas talian bersama pihak penerbit, penggiat, penyiar dan pawagam dalam mendapatkan input khusus bagi kami merangka tindakan untuk tempoh pasca Covid-19 nanti.

“Di sini beberapa prosedur operasi standard (SOP) dan polisi membabitkan Finas akan distruktur semula mengambilkira situasi industri yang terjejas," katanya.

Menurutnya, Finas turut merangka kertas cadangan atau Input Cadangan Pemerkasaan Ekonomi Industri kepada Kementerian Kewangan.

“Ia untuk diangkat kepada Kementerian Kewangan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia seperti aspek peruntukan kewangan sebagai pinjaman kepada penerbit-penerbit filem dan drama yang mempunyai kontrak dengan stesen televisyen.

“Di sini ia tertakluk kepada keadaan ekonomi kerajaan dan prosedur yang harus dipatuhi di peringkat kementerian," katanya.

Hans berkata, input diperkenalkan juga merangkumi Peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD).

“Ketika ini, dana DKD untuk pemohon yang layak sudah dibuka secara atas talian dan untuk pasca Covid-19 ini, ia boleh membantu mewujudkan peluang pekerjaan penggiat melalui pembiayaan bagi projek-projek filem cereka, dokumentari, televisyen, PSA dan lain-lain lagi.

“Ia adalah penting supaya dana ini dapat digunakan bagi menggerakkan ekonomi industri yang terkesan dengan kekurangan pelabur dan penaja.

“Finas berharap dalam tempoh kritikal ini, semua penggiat seni dapat terus bersabar dan menyahut serta patuh kepada arahan kerajaan untuk #SyatAtHome demi keselamatan kita semua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 5:14 PM