AZADAN. FOTO Arkib NSTP
AZADAN. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

 

KETUA kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berterima kasih kepada Konsortium Irama (Irama) yang menggerakkan tabung bantuan untuk anggota mereka, Nazrul Azhar Tamrin yang kini terlantar akibat masalah buah pinggang.

Azadan berkata, Pengerusi Irama, Ayob Abd Majid ada menghubunginya memaklumkan perkara ini dan dia menyokong usaha yang boleh mendatangkan kebaikan terhadap semua pihak ini.

"Kami sendiri sudah membantu Nazrul sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa dan apabila pihak lain nak menyambung usaha ini, kami merestuinya. Alhamdulillah selepas saya dedahkan penderitaan Nazrul menerusi Facebook, ramai juga yang datang menghulurkan bantuan antaranya Datuk Seri Alif Syukri, kawan-kawan dan orang ramai.

"Sebenarnya kami pernah merancang untuk buat konsert live akustik untuk bantu Nazrul. Ada pihak yang nak menaja dewan di Shah Alam dan ada yang berminat menaja makanan, tapi kerana PKP ia terpaksa ditangguh," katanya.

Sementara itu Ayob berkata, Tabung #ArtisJagaArtis bertujuan membantu anak seni yang terkesan akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

"Kami turut mewujudkan Tabung Bantuan Kecemasan Kemalangan Penggiat Seni Muzik. Kami akan membuat persembahan artis setiap hari di Facebook Irama bagi mengumpul dana. Sokongan peminat seni sangat diperlukan bagi tujuan mengumpul dana tabung berkenaan," katanya.

Menurutnya, artis yang terbabit hanya membuat persembahan dari rumah selama 15 minit dengan merakam aksi untuk dikongsi kepada peminat melalui Facebook Irama pada tarikh dan masa ditetapkan.

"Sebelum ini, kami bantu Ali XPDC yang mengalami kecederaan akibat terbakar. Artis yang sudah membuat persembahan adalah kumpulan Warisan, Aalan Ahmad, Rahmat Tohak dan Krill Rashid

“Penyanyi Abot dan suaminya Jac FTG pula buat persembahan hari ini untuk tabung bantuan Nazrul. Memandangkan sambutan artis sangat perlahan, kami terpaksa menghentikan dahulu program live ini buat sementara," katanya yang mengharapkan kerjasama semua kumpulan nasyid untuk menyokong.

Diminta mengulas perkara ini, Azadan mengakui kurang mahir dengan teknologi bagi melakukan persembahan sedemikian.

"Kami semua tak mahir teknologi ini. Secara peribadi saya mengakui tak pandai dengan perkembangan teknologi semasa. Itulah sebabnya saya ambil pendekatan berdiam diri tapi tak menghalang sekiranya rakan-rakan artis lain nak berbuat demikian. Lagipun Rabbani bergerak berkumpulan. Semua tinggal berjauhan dan susah untuk penuhi apa yang diperlukan," katanya.

Azadan berkata, dia boleh menyanyi solo secara langsung di Facebook tetapi tidak pandai untuk melakukan kerja-kerja suntingan.

 

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 5:42 PM