ABDUL Hamid Abdul Rahman
ABDUL Hamid Abdul Rahman
Norhayati Nordin


PELAKON dan pelawak berpengalaman, Hamid Gurkha, 88, bersyukur dia masih dikurniakan kesihatan yang baik hingga kini tetapi tak diizinkan oleh anaknya berlakon lagi.

Hamid dihubungi berkata sekarang dia menghabiskan masa sepenuhnya dengan berehat di rumah bersama isteri, anak, cucu dan cicit.

"Dah lama pun saya tak berlakon sebab sudah berusia dan anak-anak tak izin memandu kereta langsung. Apa lagi berlakon, mereka minta saya duduk di rumah saja bermain bersama cucu dan cicit.

"Untuk kesihatan saya, Alhamdulillah masih sihat. Syukur, tak ada penyakit. Sekarang, saya tenang rehat-rehat di rumah," katanya kepada Harian Metro.

Hamid atau nama sebenar Abdul Hamid Abdul Rahman dan keluarga yang tinggal di Sri Andalas, Klang berkata rindu nak berlakon tetap ada sebab pernah menjadi kerjayanya suatu ketika dulu.

"Apapun, bila dah terlalu berusia lebih baik saya duduk di rumah saja. Rindu tetap ada. Sekarang pun, negara dilanda wabak penyakit dan kerajaan minta semua orang duduk di rumah.

"Saya tak bosan pun lama terkurung macam ini kerana sudah biasa. Lagi tenang dan rasa selamat," katanya yang memiliki lapan orang anak.

Ditanya mengenai sumbangan diterima ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, Hamid berkata dia ada mendapat bantuan barangan keperluan daripada Persatuan Seniman dan pihak Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).

"Kalau ada pihak nak beri sumbangan, saya terima. Tapi, tidaklah meminta. Alhamdulillah, setakat ini masih cukup semuanya.

"Saya ucap terima kasih pada pihak yang hantar bantuan. Alhamdulillah, segala rezeki daripada Allah," katanya.

Mengulas mengenai Ramadan, Hamid berkata dia jarang ke bazar membeli makana. Katanya, dia makan bersederhana saja.

"Saya makan nasi dan ikan masin pun boleh. Nak makan macam-macam, saya dah tak ada gigi,' katanya.

Hamid yang mula berlakon pada 1978, pernah membintangi filem seperti Panglima Badol, Gila- Gila, Jejaka Perasan, Sikit Punya Gila dan banyak lagi.

Sebelum berlakon, Hamid juga pernah berkhidmat sebagai tentera pada 1950-an selama tujuh tahun ketika negara masih dalam penjajahan British.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 3:31 PM